Sekolah sekitar Parlimen Bukit Bendera terima sumbangan

AIR ITAM – Gabungan tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyalurkan sumbangan kepada sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Bukit Bendera.

Antara sumbangan yang disalurkan adalah cecair pembasmi kuman, pensanitasi tangan, pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19 sebagai keperluan bagi sesi persekolahan dalam normal baharu.

 

Sumbangan disampaikan oleh Penang Friendship Association, Junior Chamber International (JCI) dan Overseas Living Sdn. Bhd. bernilai RM53,000 melalui Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

 

 

“Bagi menyokong sesi persekolahan tidak lama lagi, tiga NGO iaitu Penang Friendship Association, JCI dan Overseas Living membuat sumbangan-sumbangan ini sebagai persediaan untuk penggal baharu persekolahan.

 

 

“Untuk memulakan sesi persekolahan, kita perlu pastikan keadaan di sekolah adalah selamat untuk semua.

 

 

“Walaupun saya tahu Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) turut menyumbang kelengkapan ini, namun selaku Ahli Parlimen dan NGO, kita turut melakukan atas dasar keperihatinan kepada masyarakat,” ujar Hon Wai ketika menyampaikan sumbangan tersebut melalui wakil-wakil NGO dan wakil-wakil sekolah bertempat di Pasukan Bomba Sukarela Bukit Bendera (PBSBB) di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, President Penang Friendship Association, Jessie Ong dan Pengerusi PBSBB, Liew Kuai Sang.

 

Pada kesempatan sama, Hon Wai turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada PBSBB untuk membeli kelengkapan bot.

 

 

Kuai Sang ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa PBSBB perlu berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi operasi menyelamat di dalam air kerana pasukan tersebut adalah satu-satunya bomba sukarela yang mempunyai unit laut.

 

 

“Secara keseluruhannya kami mempunyai enam buat bot untuk misi menyelamat dan cuma PBSPP sahaja di Pulau Pinang yang mempunyai unit laut.

 

 

“Antara misi yang kami selalu ikuti adalah kes terjun jambatan, kebakaran di laut dan misi menyelamat yang lain,” katanya lagi.

 

 

Terkini, anggotanya turut terlibat dalam membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING