Sektor buah-buahan antara pemacu utama ekonomi pertanian Negeri  

Admin
159853d0 bf80 4193 8bfd 95a0bc721708

SUNGAI ACHEH – Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM14.533 juta bagi memperkasa sektor pertanian dan agromakanan negeri bagi tahun 2026.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan berkaitan adalah merangkumi RM6.37 juta di bawah peruntukan Pembangunan Negeri.

“Sebanyak RM2.23 juta diperuntukkan melalui pembangunan pertanian Kerajaan Persekutuan,

serta tambahan RM5.933 juta melalui Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” ujarnya ketika berucap pada

penganjuran Pesta Durian dan Pelancaran Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawan, Dato’ Rashidi Zinol; Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Dato’ Nor Sam Alwi; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd. Muhaimin Ibrahim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberag Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pada tahun 2025, subsektor buah-buahan merekodkan pengeluaran sebanyak 30,947 tan metrik dengan nilai dianggarkan RM309.47 juta, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada nilai pengeluaran tanaman negeri.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa sektor buah-buahan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi pertanian Pulau Pinang, malah sebagai antara pengeluar durian premium terbaik di Malaysia, Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan pengeluaran ‘Raja Buah’ tersebut.

“Pengeluaran durian negeri meningkat daripada 17,910 tan metrik pada tahun 2024 kepada 18,870 tan metrik pada tahun 2025, manakala keluasan tanaman berhasil dijangka meningkat kepada 2,220 hektar pada tahun 2026.

“Daerah Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan pula kekal sebagai kawasan utama pengeluaran durian terkenal dengan pelbagai klon premium berkualiti tinggi serta mendapat permintaan yang memberangsangkan dari dalam dan luar negara,” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Kon Yeow dalam pada itu menyifatkan penganjuran program saban tahun tersebut adalah amat penting bagi memperkukuh jenama durian Pulau Pinang, memperluaskan pasaran hasil pertanian tempatan serta meningkatkan pendapatan para petani dan usahawan.

 

“Saya difahamkan bahawa pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang tiga hari program ini, antaranya pertandingan Durian Varieti Terbaik dan Durian Kampung Terbaik 2026, inovasi produk berasaskan durian, pameran teknologi pertanian serta jualan produk agro tempatan.

 

“Marilah kita terus berganding bahu memperkasa sektor pertanian negeri, yang mana saya yakin Pulau Pinang akan terus melakar kejayaan sebagai peneraju agromakanan dan pengeluar durian premium negara,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI