Selamatkan Ulu Muda, wartakan sebagai Taman Negeri

MUNGKIN ada di antara kita tidak mengetahui Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) yang terletak di utara Semenanjung tanah air dan juga kepentingannya yang merupakan kawasan tadahan air terbesar bagi mengisi tiga empangan buatan manusia yang utama iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu.

Meliputi 163,103 hektar hutan hujan, HSUM seharusnya dilindungi ekoran fungsi penting hutan berkaitan yang menyalurkan 80 peratus bekalan air di Pulau Pinang, Kedah (96 peratus) dan Perlis (70 peratus), malah ia juga membentuk punca air kepada lebih 4.09 juta penduduk serta beribu-ribu perniagaan di kawasan utara Semenanjung.

Pada masa sama, ia  merupakan sumber air untuk ‘periuk nasi’ negara apabila Kedah yang terkenal dengan jolokan negeri jelapang padi menerima bekalan air daripada punca hutan simpan berkenaan.

Umumnya, bekalan air dari Ulu Muda membolehkan sawah padi di negeri Kedah dan selatan negeri Perlis mengamalkan penanaman dua kali setahun yang menyumbang kepada kira-kira 45 hingga 50 peratus daripada pengeluaran beras negara.

Ini bermakna, HSUM bukan sahaja merupakan hutan tadahan air yang berkepentingan untuk negeri di wilayah utara, bahkan juga terhadap bekalan beras negara.

Namun kini, ia mengalami ancaman! Kepentingan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terus diabaikan apabila pembalakan rakus telah mengancam fungsi sokongan hayatnya yang berperanan utama sebagai penyerap karbon bagi menangani perubahan iklim dan juga sumber air.

Menyedari keadaan tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Water Watch Penang (WWP) yang ditaja oleh Yayasan Hasanah telah bekerjasama dengan Management & Ecology of Malaysian Elephants (MEME) telah mengadakan lawatan advokasi bersama-sama wakil media tempatan ke kawasan berkenaan pada 15 hingga 17 Mac lalu.

 

Menurut Presiden WWP, Prof. Dr. Chan Ngai Weng, aktiviti- aktiviti berisiko tinggi seperti pembalakan bukanlah satu amalan mampan kerana ia memberi kesan dan mengancam kawasan tadahan serta menjerumus kepada kemusnahan ekosistem serta kepelbagaian biodiversiti di Ulu Muda.

“Dalam tempoh jangka masa panjang, ia tidak baik untuk semua pihak, tidak baik untuk Pulau Pinang, Perlis mahupun Kedah sendiri kerana pembalakan ini telah berlaku selama bertahun-tahun, dan ia menjadi semakin berleluasa hingga menimbulkan kebimbangan serta kacau ganggu kepada sumber air sedia ada.

“Kita (Pulau Pinang) tidak benar-benar menentang pembalakan, tetapi apa yang kami cuba menentang selama ini adalah pembalakan yang mengancam kawasan tadahan. Jika mereka melakukannya jauh daripada kawasan tadahan, itu tiada masalah kerana pembalakan yang tidak dirancang akan menimbulkan masalah dan memusnahkan kekayaan yang terdapat di Ulu Muda ini.

“Secara munasabahnya, kita faham, negeri Kedah tidak kaya dan ia bergantung kepada sumber asli seperti hutan, tapi Kedah seharusnya mencari sumber pendapatan yang lebih mampan,” ujarnya yang mempunyai pengkhususan di dalam bidang Hidroklimatologi, Sumber Air dan Pengurusan Bahaya Alam Sekitar daripada Universiti Malaya dan Universiti Middlesex, London.

Walaupun Kedah telah membatalkan permit pembalakan di hutan berkenaan, ekosistemnya yang masih rapuh dengan mudah dapat diakses melalui jalan pembalakan.

Justeru seperti WWF-Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, Ngai Weng menyeru Kerajaan Kedah untuk mewartakan HSUM sebagai Taman Negeri yang harus dipelihara serta dijaga sebaik-baiknya.

Menurut beliau, padangan dan seruan suara tersebut turut dikongsi oleh majoriti 85 peserta yang mengambil bahagian dalam dua bengkel yang dijalankan oleh WWP pada tahun ini berhubung hala tuju serta visi perlindungan HSUM yang masing-masingnya dijalankan di Pulau Pinang dan Alor Star.

“Jika HSUM diwartakan sebagai Rizab Hutan sahaja, perwartaan itu dengan mudah ditarik balik oleh Mesyuarat Exco Negeri berbanding mewartakannya sebagai Taman Negeri.

“Sebagai Taman Negeri, ia tidak mudah dan sewenang- wenangnya untuk ditarik balik kerana memerlukan perbincangan serta pertimbangan orang ramai melalui forum awam yang diadakan,” jelasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Ngai Weng menyatakan bahawa pembalakan yang tidak terancang adalah sia-sia kerana ia bakal memberikan impak buruk kepada perubahan iklim.

“Pokok-pokok ini adalah satu anugerah buat kita semua, ia membantu untuk mengawal pemanasan global, menukar karbon dioksida menjadi oksigen melalui proses fotosintesis… bayangkan jika mereka ditarah, dipotong, semua karbon yang disimpan di dalam tisu akan teruap ke udara, dan ini memberikan kesan buruk kepada manusia.

“Jika hutan-hutan ini dimusnahkan, banjir besar mungkin berlaku, pokok-pokok tidak lagi dapat menampung air hujan. Perhatian segera perlu diberi bagi memulihkan kemusnahan yang telah dilakukan dan menghentikan segala aktiviti yang boleh mengancam kemusnahan kawasan Ulu Muda sekaligus mewartakan HSUM sebagai Taman Negeri,” tegas beliau.

Manakala, menurut salah seorang penduduk tempatan yang juga pengemudi sampan, ZAINUDDIN ABBAS, 55, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Din melontarkan rasa terkilan apabila HSUM yang dulunya hijau kini telah banyak berubah dan turut memberi kesan kepada kualiti air sungai yang menyambung terus ke Empangan Muda.

“Dulunya Sungai Muda ini cantik banyak alurnya… tapi sekarang bila pembalakan mula berlaku, sungai ini menjadi semakin cetek sebab sisa-sisa tanah dan pasir melimpah jatuh ke dalam sungai.

“Bukan sahaja air (sungai) menjadi semakin keruh, tetapi juga menyukarkan kami untuk mengemudi sampan, adakalanya kami terpaksa turun dan tolak sampan yang tersangkut di pasir,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Seingat Pak Din, aktiviti pembalakan mula berlaku selepas empangan tersebut dibuka kepada orang ramai kira-kira 20 tahun lalu.

“Dulunya agak susah untuk akses masuk ke kawasan ini, ia dikawal ketat dan memerlukan permit untuk masuk. Tapi selepas balak diambil, binatang di sini juga banyak yang pupus, mungkin juga mereka berhijrah ke tempat lain atau diburu oleh pemburu haram,” luahnya lanjut sebagai anak jati di kawasan tersebut.

Cadangan jangka panjang

Mengulas mengenai kepentingan kelestarian sumber air bagi tempoh jangka panjang, Ngai Weng memberitahu bahawa WWP menyokong kenaikan tarif air di Pulau Pinang memandangkan negeri ini mengenakan tarif air paling murah di Malaysia tetapi mencatatnya penggunaan tertinggi perkapita sehari di dalam negara.

“Secara puratanya, warga Pulau Pinang menggunakan air kira- kira 291 liter (l) setiap orang, manakala purata negara (220l) dan Singapura (150l) sahaja kerana air di sana (Singapura) sangat tinggi dan orang ramai sangat peka.

“Setiap penggunaan isi rumah hendaklah kurang daripada 20 meter padu sebulan, jadi, kami mencadangkan tarif air tetap untuk mereka yang menggunakan di bawah 20 meter padu, tetapi sekali ganda harga untuk penggunaan 21 hingga 30 meter padu dan dua kali ganda harga (31 hingga 40 meter padu ke atas),” cadang beliau.

Pendapat sama turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Earth Lodge, Hymeir Kamarudin bahawa beliau tidak kisah sekiranya Kerajaan Negeri menaikkan sedikit tarif air.

“Saya tidak kisah jika tarif air dinaikkan sedikit, secara ironinya ia terlalu rendah dan tak munasabah saya hanya perlu membayar dalam RM15 hingga RM20 untuk dua bulan penggunaan air,” ujarnya.

Selain itu, Hymeir menyatakan bahawa untuk melindungi HSUM, terdapat dana antarabangsa yang dikenali sebagai Carbon Credit yang boleh diperoleh bagi perlindungan hutan untuk menangani perubahan iklim serta memulihara biodiversiti.

“Untuk pendapatan yang lebih mampan, mungkin Kerajaan Persekutuan boleh membantu Kerajaan Kedah memohon dan memperoleh dana ini kerana lazimnya ia melibatkan G to G Arrangement (persetujuan Kerajaan dengan Kerajaan).

“Seperti Indonesia yang memproleh 1 bilion dolar dari negara Findland hanya untuk melindungi hutan di sana,” jelasnya.

Kepelbagaian flora, fauna dan biodiversiti

 

Selain sebagai sumber tadahan air, HSUM juga berpotensi sebagai destinasi eko-pelancongan negara menandingi Hutan Belum di Perak dan Taman Negara, Pahang.

Difahamkan, terdapat 117 mamalia direkodkan di Ulu Muda termasuk spesies terancam seperti harimau, marbled cat dan tapir. Ia juga menjadi habitat kepada lebih 170 spesies burung dan antara yang menjadi tarikan ialah semua 10 spesies burung enggang terdapat di sini berbanding di Sarawak hanya lapan.

Selain haiwan terestial (daratan), ikan dalam empangan dan sungai juga menarik perhatian pemancing, malah madu lebah iaitu madu tualang sudah lama menjadi ikon kepada Hutan Pedu dan Ulu Muda.


Tidak terkecuali, HSUM juga mempunyai lebih daripada 10 kawasan sira gajah iaitu kawasan air panas mineral yang menjadi tempat gajah berkubang dan makan. Wakil-wakil media amat bernasib baik apabila terserempak dengan dua kumpulan gajah liar di tebing Sungai Muda.

Menurut Pakar Sains Alam Sekitar dan Geografi Universiti Nottingham-Malaysia yang juga Prinsipal MEME, Prof. Dr. Ahimsa Campos Arceiz, gajah di HSUM memainkan peranan penting kepada ekosistem hutan berkenaan.

“Hanya terdapat tiga spesies gajah di dunia iaitu gajah Asia, gajah Afrika dan gajah Savana Afrika.

“Di kawasan Semenanjung, boleh dikatakan bahawa ini (HSUM) adalah tempat terbaik untuk melihat gajah liar yang sentiasa bergerak di dalam habitat semula jadi mereka,” ulasnya sambil memaklumkan bahawa terdapat sejumlah 1,500 ekor gajah di kawasan Semenanjung dalam negara.