Semangat kerjasama padu komuniti Jalan Kedah dipuji

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji sikap penduduk Kompleks Jalan Kedah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah komuniti.

Menurut beliau, sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat, penduduk di sini sentiasa bertungkus-lumus mencari solusi terhadap permasalahan yang melanda.

“Terdahulu, persatuan ini bersama-sama Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota telah bekerja sebagai sebuah pasukan dalam menunaikan tanggungjawab untuk mengubah suasana kehidupan.

“Jika diimbas kembali, wujud pelbagai isu daripada segi keselamatan, kebersihan, keselesaan dan juga kemudahan infrastruktur yang kurang memuaskan, namun kini ia berjaya diatasi dengan semangat kerjasama yang padu,” jelasnya semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama-sama Persatuan Penduduk Jalan Kedah dekat sini sebentar tadi.

SESI penerimaan sumbangan oleh Ketua Menteri kepada Abdul Wahab Shaik Mydin selaku pengerusi.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Mydin, ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat serta barisan pimpinan KADUN Padang Kota yang turut memeriahkan majlis tersebut.

Dalam sesi sama, Kon Yeow turut menyumbangkan peruntukan kepada persatuan tersebut bagi membaik pulih infrastruktur perlu.

“Peruntukan sebanyak RM17,500 telah disumbangkan kepada persatuan ini demi membaik pulih laluan utama, bumbung yang bocor dan sebagainya.

“Namun begitu, berkaitan permasalahan lif tiga (3) dan empat (4) yang perlu diselenggara, adalah diharapkan ia bakal menemui jalan penyelesaian segera bagi memudahkan pergerakan warga emas,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

ABDUL Wahab ditemani Ketua Menteri semasa sesi pemberian sumbangan bantuan.
ANTARA 10 orang penerima bantuan yang hadir pada majlis sebentar tadi.

Serentak itu, Kon Yeow turut menyeru penduduk Kompleks Jalan Kedah agar kekal aktif dan prihatin terhadap isu-isu berkaitan serta saling membantu antara satu sama lain.

“Saya berharap penduduk di sekitar sini dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kepentingan serta memastikan kawasan yang diduduki berada dalam keadaan yang baik.

“Sekadar peringatan mesra, yuran penyelenggaraan juga perlu dibayar bagi mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih,” ulasnya sejurus menyempurnakan pemberian sumbangan bantuan kepada 10 penerima yang terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN