BERTAM – Seramai 400 golongan memerlukan di kawasan Tasek Gelugor dan Kepala Batas menerima sumbangan baucar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Pejabat Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan menjelang musim perayaan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri hadir menyempurnakan penyerahan baucar kepada para penerima dalam majlis yang diadakan di Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.





Semasa berucap, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri yang berperanan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan dalam menyalurkan suara serta keperluan masyarakat setempat.
Menurut beliau, kerjasama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) amat penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat ditangani dengan berkesan.
“Saya ingin merakamkan rasa syukur atas inisiatif pihak penganjur yang sentiasa mencerminkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakat.
“Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini dapat membawa kegembiraan kepada para penerima menjelang sambutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak berkaitan yang telah menjayakan program tersebut.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Penghulu Tertinggi Daerah SPU, Mohd. Yusof Hamid dan Pengerusi MPKK Lahar Kepah, Husin Mat Isa.
Kon Yeow turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam memastikan pembangunan ekonomi negeri berjalan seiring dengan agenda kebajikan rakyat.
Beliau memaklumkan bahawa dalam Belanjawan Negeri 2026, sejumlah RM1.08 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan tanggungjawab Kerajaan Negeri termasuk projek pembangunan serta pelbagai program kebajikan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM65 juta diperuntukkan khusus bagi tujuan kebajikan untuk membantu pelbagai golongan termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik serta keluarga berpendapatan rendah,” jelasnya.
Tambah Kon Yeow, inisiatif kebajikan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan, khususnya mereka yang memerlukan sokongan tambahan dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, khususnya ketika musim perayaan.
“Semangat saling menghormati serta berkongsi kegembiraan ketika musim perayaan menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.
Beliau juga berharap agar peranan yang dimainkan oleh pejabat daerah dan MPKK dapat terus diperkukuh bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara lebih dekat kepada rakyat di kawasan kampung dan komuniti setempat.
Sementara itu, Hock Peng menyatakan bahawa program pemberian sumbangan pada tahun ini sedikit berbeza kerana disalurkan dalam bentuk baucar berbanding hamper sebelum ini.
“Sebelum ini, kita agihkan dalam bentuk hamper yang mengandungi barangan keperluan harian tetapi diubah sedikit pada tahun ini bagi memudahkan penerima terutamanya warga emas dan golongan OKU.
“Jumlah sumbangan juga meningkat kepada 400 penerima pada tahun ini, berbanding hanya 300 orang pada tahun lepas, dan kami berharap jumlah penerima dapat ditingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang.
“Selain sumbangan bermusim seperti ini, masyarakat setempat juga boleh datang ke sini (Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri) sekiranya memerlukan sebarang bantuan,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS