Serambi Penang Institute – GAZA: Doa Jadi Senjata!

SERANGAN terkini rejim Israel ke atas Gaza, amat menyayat hati dan seumpama mengoyak-ngoyakkan maruah umat Islam seluruh dunia. Setakat waktu artikel ini ditulis, seramai 88 syahid dan 720 cedera dalam tempoh 5 hari pembantaian terbaru Israel atas Gaza.

Apakah yang sebenarnya Israel mahukan dari tanah sekangkang kera, iaitu Genting Gaza itu? Tidak cukup dengan bom berangkai yang dijatuhkan dari pesawat canggih Falcon F15 dan helikopter tempurnya, ditambah lagi dengan curahan peluru berpandu dari armada lautnya sehinggalah kepada gerombolan kereta kebal beserta ratusan unit infantri menerobos masuk ke segenap simpang, lorong dan rumah-rumah orang Islam di sana.

Mahu apa lagi rejim terkutuk ini dari tanah kecil orang Islam itu? Selain daripada bangunan parlimen, rejim yang bongkak ini turut mengebom pus a t pentadbiran kerajaan, pasaraya, masjid, sehinggalah kepada  hospital, yang merupakan harapan terakhir untuk
menyelamatkan ribuan umat Islam yang sedang berada di ambang kematian.

Ia mirip misi ‘carpet bombing’ yang pernah dijalankan oleh Amerika Syarikat sewaktu menawan Baghdad dan Afghanistan suatu ketika dahulu, tanpa satu binaan pun ditinggalkan. Alasan-alasan yang berirama basa-basi seperti “Kami menyerang Gaza, demi keselamatan penduduk kami dari bedilan roket-roket pejuang Hamas” akan menjadi hujah rutin pemimpin-pemimpin bongkak mereka setiap hari.

Atas nama ‘keselamatan’ penduduknya, rejim Israel membalas setiap serangan roket Hamas dengan mencampakkan bertan-tan bom berangkai ke sasaran awam dengan sewenangwenangnya.

Mahu atau tidak, penduduk Gaza perlu mengambil keputusan ultimatum, antara ‘do or die’ iaitu bertempur atau berkubur. Peperangan adalah merupakan jalan terakhir yang diambil oleh Islam, demi mempertahankan tanahair daripada dirampas oleh tentera zionis terkutuk.

Begitu juga keadaannya di Gaza, walaupun mereka tahu mereka berada di pihak yang kalah, pihak minoriti, pihak yang dibuli dan dibelasah oleh musuh, namun semangat untuk bangun menentang tidak akan mampu ditentang oleh sesiapa pun.

Allah berfirman di dalam Surah As-Saff ayat ke-8: “Mereka ingin dan berusaha untuk memadamkan cahaya agama, tetapi Allah tetap akan menyempurnakan cahaya agamanya miskipun orang orang kafir enggan menerimanya , tetap menentang dan menolaknya.”

Ini adalah azimat perjuangan yang tetap tersemat di hati para pejuang Palestin, betapa Allah akan bersama dalam setiap gerak gempur mereka demi mempertahankan maruah agama.

Doa Sebagai Senjata

Dalam keadaan segala pintu dan jalan keluar buat saudara-saudara kita di Gaza semakin tertutup, bermula dengan pemotongan bekalan air, elektrik dan komunikasi, disusuli dengan pengeboman keperluan-keperluan awam seperti hospital dan pasaraya, ditambah lagi dengan sekatan ketat yang menghalang bantuan antarabangsa dari aspek perubatan, makanan dan kemanusiaan, apa lagi yang kita boleh harapkan?

Dalam kata mudahnya, mereka seolah-olah terkepung, terperangkap dan hanya menunggu masa untuk dibunuh sewenang-wenangnya oleh rejim Israel.

Hampir setiap hari demonstrasi diadakan untuk meluah rasa marah umat Islam, hampir setiap masa desakan dibuat oleh negaranegara yang bersimpati agar PBB mengadakan sidang khas untuk menyelamatkan Gaza, usaha memboikot yang saban hari
digerakkan, namun adakah Yahudi akan tunduk dan akur pada tuntutan dunia Islam? Lantas, adakah kita akan terus-menerus mengalah dengan berada di bawah naungan keegoan Israel yang bongkak ini selama-lamanya?

Dengan dominasi mereka yang menguasai politik, ekonomi dan ketenteraan dunia, ini tidak harus jadi sebab kita mati rasa dan mengiyakan semua penguasaan mereka. Ingat, dalam kerendahan, kemiskinan dan serba kekurangannya kita,kita tetap masih mempunyai doa.

Sesungguhnya doa itu di sisi Allah S.W.T. amat tinggi nilainya dan Dia amat menyukai hambahambaNYA yang meminta kepadaNYA. Sehinggakan di dalam keadaan umat Islam dalam keadaan tiada lagi upaya daya dan ditimpa musibah yang hebat, Allah S.W.T. menenangkan hamba-hambaNYA dengan berfirman; “Dan apabila hambahamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, bahawasanya Aku adalah dekat.

Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al- Baqarah:186).

Doa yang bagaimanakah yang bakal dikabulkan oleh Allah S.W.T. dengan kadar segera? Sudah tentulah di antara doa yang paling makbul adalah doa-doa mereka yang dizalimi dan tertindas . Untuk memperkuatkan lagi jaminan Allah S.W.T. itu, baginda Rasulullah S.A.W. menyusul dengan sabdanya; “Addua` sillatul mukmin” yang bermaksud doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.

Kenapakah doa yang tampak begitu lembut dengan hanya tadahan tangan dan beberapa alunan munajat itu disama tarafkan oleh Rasulullah S.AW. dengan senjata? Di sinilah letaknya martabat doa yang tertinggi, di mana dengan hati yang bersih, hati yang jitu dan susulan usaha yang sungguh-sungguh,

Kita akan mampu menangkis setiap inci mara bahaya yang datang. Sirah kenabian yang lampau dan realiti kontemporeri telah membenarkan lagi kata-kata Rasulullah S.A.W. ini. Bermula dengan doa Nabi Nuh a.s. yang membinasakan setiap seorang penentang agama Allah S.W.T.

Dalam satu peristiwa banjir besar, doa Nabi Luth a.s. yang menjungkir balikkan bumi tempat tinggal kaumnya yang meyeleweng  dalam  perhubungan sejenis, ditunjukkan lagi dengan doa Nabi Salleh a.s. yang disusuli dengan teriakan keras Malaikat Jibril yang menghancurkan mereka yang membunuh unta milik Allah S.W.T., doa Nabi Ibrahim a.s. yang mampu menyejukkan api yang sedang marak membakar dirinya dan doa baginda Rasulullah S.A.W.

Sendiri, yang lebih dikenali dengan doa qunut Nazilah yang membinasakan pimpinan musuh Islam yang membunuh puluhan para Hafiz yang dihantar olah Rasulullah untuk misi dakwah kepada mereka.

Ini bukti jelas, bahawa doa tidak boleh dipandang enteng kekuatannya. Ia lebih berkuasa dari ledakan bom atom, hatta kemusnahan perang yang dibawa oleh musuh kafir kita pada hari ini, hanya sekelumit sahaja kekuatannya jika dibandingkan dengan kekuatan Allah S.W.T. menerusi doa-doa orang Islam.

Kemenangan

Peperangan yang memakan masa berkurun-kurun lamanya ini akan hanya dimenangi umat Islam andai kita kembali kepada Allah dan Rasul, serta menjauhi segala kemungkaran dan dosa, demi memastikan hijab yang menutup doa-doa kita selama ini akan terbuka dan sebagai balasannya, Allah S.W.T. akan menurunkan bantuanNYA yang mencurah-curah kepada kita. Kita akhiri artikel ini dengan sama-sama meyakini ingatan Allah S.W.T.ini dengan sekuat hati kita, iaitu; “Dan ada lagi kurniaan lain yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira ini kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff :13)

Syed Mikael Rizal Aidid
Eksekutif Komunikasi & Program
Penang Institute