Serambi PI : Keterangkuman pendidikan

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI

Tuan Pengerusi,

Perkara ketiga bahagian “Strategi” muqadimmah  bab Kementerian Pendidikan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014 dengan jelas menyatakan objektif untuk “memastikan rakyat mendapat peluang yang adil dan saksama tanpa mengira lokasi, kaum, kelompok kurang upaya, orang asli dan suku minoriti lain.”

Sehubungan dengan itu, saya ingin menarik perhatian dewan kepada sebuah janji yang tidak ditepati oleh Kerajaan Barisan Nasional. Semasa pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, Perdana Menteri telah mencadangkan penubuhan projek perintis Taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan masalah pembelajaran.

Saya ingin bertanya, di manakah Taska OKU yang dijanjikan ini? Adakah ia sudah pun dilaksanakan? Jika tidak, adakah Kerajaan serius dalam objektif untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat peluang yang adil dan saksama dalam pendidikan? Sesungguhnya negara kita sangat terkebelakang dari segi pendidikan khas, di mana tiada sekolah-sekolah kerajaan yang khusus yang dapat membezakan antara jenis-jenis OKU yang berlainan, hatta memberi bimbingan yang sepatutnya mengikut keperluan. Saya harap pihak Kementerian dapat memberi perhatian yang sewajarnya dalam perkara ini.

Lanjutan kepada persoalan keterangkuman pendidikan ini juga, saya mendapat maklumat bahawa terdapat kurang lebih 20 penempatan Orang Asli yang tidak mempunyai sekolah. Maka, saya menuntut penjelasan Yang Berhormat Menteri berhubung kenyataan ini, kerana seandainya kenyataan ini benar, maka tidakkah ia bertentangan dengan Seksyen 29A (2) Akta Pendidikan 1996 yang mewajibkan pendidikan rendah kepada semua murid? Jika prasarana asas tidak disediakan kepada anak-anak Orang Asli di 20 penempatan ini, siapakah yang bertanggungjawab? Adakah Kementerian Pendidikan boleh didakwa melalui Akta ini kerana kanak-kanak tersebut tidak dapat bersekolah?

Tuan Pengerusi,

Semakan melalui Statistik Pendidikan Malaysia 2011 mendapati bahawa sehingga 30 Jun 2011, enrolmen pelajar sekolah rendah di negara ini mencapai 96 peratus. Ini merupakan angka enrolmen yang boleh dibanggakan dan setanding dengan negara-negara maju. Namun begitu, empat peratus kanak-kanak yang tidak bersekolah ini tidak harus diabaikan. Begitu juga di peringkat sekolah menengah di mana masih terdapat 14 peratus remaja yang tidak mengikuti sistem pendidikan formal di negara ini. Maka, saya berharap Yang Berhormat Menteri dapat menjelaskan demografi anak-anak yang tercicir daripada pendidikan formal dari segi latar sosioekonomi, lokasi, kaum dan gender. Adakah Kementerian telah menjalankan kajian terhadap anak-anak yang tercicir ini dan apakah langkah yang diambil untuk membantu mereka?

Pada masa yang sama, Kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) Pendidikan 2010, telah mengumumkan pelaksanaan penarafan prasekolah menggunakan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan bermula tahun 2013 terhadap 100 peratus prasekolah kerajaan dan 50 peratus prasekolah swasta.

Maka, sebelum kita memutuskan sama ada Rang Undang-undang yang ada di hadapan kita ini layak diluluskan, adalah wajib kita pertimbangkan keputusan laporan penarafan ini terlebih dahulu, memandangkan wujud kebimbangan besar masyarakat terhadap kualiti pendidikan dan tahap keselamatan setiap taska di negara ini.

Tuan Pengerusi,

Saya juga ingin menyentuh mengenai peruntukan bagi pendidikan rendah, di mana RM14 bilion bagi perbelanjaan mengurus merupakan satu jumlah yang besar. Tetapi, sekiranya perbelanjaan itu menjanakan hasil yang baik, ia tidak bermasalah. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang saya pertegaskan dalam ucapan peringkat dasar tempoh hari, Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 sendiri telah membuktikan bahawa perbelanjaan besar tahun demi tahun oleh Kementerian Pendidikan adalah tidak setimpal dengan hasil yang diperolehi. Dalam erti kata lain, perbelanjaan Kementerian Pendidikan adalah tidak cekap dan gagal diterjemahkan dalam bentuk kecemerlangan pelajar.

Kenyataan saya ini disokong lagi dengan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang diumumkan baru-baru ini. Walaupun diuar-uarkan kononnya keputusan yang terbaik dalam empat tahun, penelitian keputusan UPSR tahun ini menunjukkan penurunan yang ketara dalam keputusan kertas Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah kebangsaan, di mana hanya 74.4 peratus daripada calon-calon sekolah kebangsaan berjaya mencapai sekurang-kurangnya C tahun ini, berbanding dengan 77.3 peratus pada tahun lepas. Pada masa yang sama, Gred Purata Mata Pelajaran untuk kertas tersebut juga merosot.

Keputusan ini sangat mengejutkan memandangkan Kerajaan telah membelanjakan RM270 juta untuk mengupah syarikat-syarikat perunding untuk mendatangkan “mentor” penutur jati bahasa Inggeris dari luar negara untuk membimbing guru-guru Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah kebangsaan. Program ini telah berlangsung dari tahun 2011 sehingga tahun ini, dan sepatutnya 7,500 guru sekolah rendah sudah dilatih. Justeru, selepas tiga tahun pelaksanaan dan perbelanjaan RM270 juta, bagaimanakah mungkin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah rendah kebangsaan kita merosot? Bukankah ini satu lagi pembaziran besar?

Perbelanjaan yang besar, tetapi mana hasilnya?

Tambahan kepada isu ini, RM270 juta tersebut telah diagihkan kepada tiga syarikat perunding, iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group. Namun, sementara British Council dan Brighton Education Group merupakan syarikat-syarikat yang terkenal dalam bidang pendidikan, apakah kelayakan syarikat SMR HR Group yang telah dibayar RM90 juta bagi program mentor tersebut?

Maklumat daripada laman web rasmi SMR HR Group menunjukkan bahawa mereka merupakan agensi yang menyediakan khidmat nasihat dalam bidang sumber manusia. Sebelum projek mentor bahasa Inggeris ini, adakah mereka pernah mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan? Jika tidak, atas asas apakah mereka telah dianugerahkan kontrak yang begitu lumayan?

Ekoran daripada itu, saya ingin bertanya sama ada program mentor penutur jati RM270 juta yang saya ulaskan tadi akan dilanjutkan setelah tamat pada tahun ini. Sekiranya tidak, saya minta penjelasan dan perincian perbelanjaan RM208 juta bagi program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris untuk tahun 2014.

Dalam pada itu, saya juga ingin menuntut penjelasan Yang Berhormat Menteri mengenai program latihan penggunaan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) yang bakal dilaksanakan dalam projek 1BestariNet?

Hal ini sangat penting kerana program ini mempunyai persamaan dengan dasar PPSMI yang telah gagal setelah memakan belanja RM3.2 bilion. Sepertimana dasar PPSMI, program VLE ini juga banyak bergantung kepada kemahiran guru dan penggunaan teknologi.

Oleh itu, saya ingin bertanya juga sama ada kajian rintis ataupun pilot studies telah dilakukan?

Saya khuatir pengenalan projek yang tiada kajian menyeluruh ini bukan sahaja akan membazirkan wang rakyat tetapi memperjudikan masa depan anak bangsa dengan menjadikan semua murid sekolah kita sebagai tikus makmal.

Institusi Pengajian Tinggi Awam

Tuan Pengerusi,

Berkenaan dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), salah satu sasaran utama Jabatan Pengajian Tinggi adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 75 peratus pensyarah IPTA mempunyai kelayakan ijazah Doktor Falsafah atau setaraf dengannya. Namun begitu, semakan dengan Indikator Pengajian Tinggi 2009/2010 menunjukkan bahawa secara keseluruhannya kurang 30 peratus pensyarah IPTA memiliki ijazah Doktor Falsafah. Malah, di universiti bertaraf penyelidikan pun jumlah ini hanyalah pada 40% pada 2010.

Justeru, apakah status terkini program MyBrain15 serta bilangan pensyarah dengan ijazah Doktor Falsafah semasa di setiap universiti? Pada masa yang sama, apakah usaha kerajaan untuk meluaskan kebebasan akademik bagi menarik lebih ramai ahli akademik yang berkualiti untuk menyertai IPTA?

Tambahan kepada itu, saya juga ingin membangkitkan jawapan Yang Berhormat Menteri semasa perbahasan peringkat dasar, yang menyatakan bahawa “ranking bukan segala-galanya” untuk menjawab kritikan ranking IPTA negara kita yang semakin merosot, khususnya Universiti Sains Malaysia yang telah melihat penurunan ranking yang ketara sejak penarafannya sebagai satu-satunya Universiti APEX di negara kita. Menurut QS World University Rankings semenjak tahun 2007, kedudukan USM telah merosot daripada 307 pada tahun 2007 kepada 326 pada tahun 2012 sehingga 355 pada tahun ini.

Ya, saya boleh menerima kenyataan bahawa ranking itu bukan segala-galanya. Namun, saya ingin tahu, jika bukan ranking, apakah indikator lain yang digunakan untuk mengukur prestasi IPTA, khasnya Universiti APEX USM?

Tuan Pengerusi,

Akhir sekali, saya ingin menarik perhatian kepada peruntukan RM1.095 bilion untuk program bantuan makanan asrama. Saya harap Yang Berhormat Menteri dapat memberi perincian lanjut mengenai perkara ini, dan senaraikan berapa buah sekolah, sama ada sekolah harian mahupun berasrama penuh, yang menikmati peruntukan ini serta berama ramaikah murid yang terlibat?

Saya menyudahi ucapan saya dengan harapan bahawa Yang Berhormat Menteri akan menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan, tidak seperti dalam penggulungan Menteri semasa peringkat dasar yang sangat mengecewakan kerana tidak menjawab secara langsung kebanyakan daripada soalan-soalan yang saya ajukan.

Sekian, terima kasih