Sidang Muda kembali lagi, jom sertai

Admin
featured image sidang muda

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MMK Belia, Sukan dan Kesihatan dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) mempelawa semua belia yang bersemangat dan berhasrat untuk membuat perubahan positif dalam komuniti menyertai Sidang Muda.

EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk melahirkan generasi muda yang celik politik dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

“Maka platform Sidang Muda ini membolehkan anak muda menyuarakan pendapat serta cadangan yang membawa kepada pembangunan dan kesejahteraan sejagat.

yb daniel
Zi Sen berharap lebih ramai belia melibatkan diri dalam Sidang Muda

“Saya berharap belia kita (Pulau Pinang) boleh pergiatkan diri dalam perdebatan dan perbincangan isu semasa sepanjang persidangan Sidang Muda secara berilmiah yang berdasarkan fakta sahih serta benar dan tidak secara ekstrem,” kata Zi Sen pada sidang media pengumuman pelancaran program berkaitan di Komtar, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PYDC Dr Gwee Sai Ling.

Mengulas lanjut, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, tidak menafikan bahawa sumbangan anak muda dalam melontarkan idea untuk pembangunan masyarakat amatlah diperlukan.

“Setakat ini, seramai 223 belia telah menyertai Sidang Muda sejak dilancrkan pada 2015 dan ramai yang masih bergiat aktif dalam arena politik dan sosial sebagai pegawai seranta, pegawai khas, Ahli Majlis dan ada juga yang terlibat aktif dalam pertubuhan belia atau mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) serta jawatankuasa di bawah seliaan kerajaan seperti Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).

“Mereka ini terdiri dari pelbagai latar belakang dan kepakaran sekali gus membuktikan bahawa golongan belia sedia untuk memimpin dan menerajui negara ini.

“Tahun ini, sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadualkan pada penghujung Mei dan disusuli dengan Sidang Muda, jadi saya berharap permohonan penyertaan kali ini akan memberi peluang kepada ‘muka baharu’,” tambah Zi Sen lagi.

sidang muda
Permohonan Sidang Muda dibuka mulai 22 Mac 2024 sehingga 5 April 2024

Difahamkan, setakat hari ini, sebanyak 60 permohonan telah diterima sejak pendaftaran mula dibuka pada 22 Mac 2024 dan berakhir pada 5 April 2024 nanti. Maklumat lanjut, sila layari laman web https://sidangmuda.org.my.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : ALISSALA THIAN