Simpang Masjid Terapung, Ahli Majlis gesa pasang lampu isyarat & lintasan pejalan kaki

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

TANJUNG BUNGA – Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa segera memasang lampu isyarat serta mewujudkan lintasan pejalan kaki di persimpangan hadapan Masjid Terapung Tanjung Bunga di sini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit berkata, trafik antara Jalan Batu Feringghi ke Persiaran Tanjung Bunga sememangnya kerap berlaku kemalangan dan ada di antaranya membawa maut.

“Ini melibatkan nyawa manusia dan ianya tidak boleh dikompromi.

“Pada awal Mac, seorang remaja (pelajar sekolah) terbabit kemalangan di sini dan patah tangan,” ujarnya pada sidang media di lokasi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Kariah Masjid Tanjung Bunga, Roslan Abu Bakar dan Timbalannya, Samad Fadzil.

Dalam pada itu, Samad memberitahu bahawa aspek keselamatan di sini wajar dititikberat memandangkan masjid berkaitan sering kali dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara.

“Pada bulan Disember 2015 pun sudah ada kemalangan maut di sini.

“Sebagai sebuah masjid pelancongan, kita perlu utamakan keselamatan pengunjung,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan berwajib sebenarnya dikemukakan kepada pihak JKR sejak tahun 2010 lagi.

Namun, kata Samad, pihaknya dimaklumkan bahawa JKR tiada peruntukan untuk kedua-duanya projek penarafan yang dicadangkan itu.

if (document.currentScript) {