Sokongan berterusan realisasi PTFC, geran RM2 bilion tampung kos komponen Projek Skim Pemindahan Air Perak – Pulau Pinang

Admin
8f4ec792 ed5a 4e66 9786 2f72442bcb81

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang memohon sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan Penang Technology Financial Centre (PTFC) sebagai pusat kewangan berteraskan teknologi yang dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa pembangunan PTFC penting untuk memperkukuh ekosistem kewangan negara, khususnya dalam menyokong pertumbuhan industri teknologi dan semikonduktor serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rangkaian kewangan global.

“Pulau Pinang yang menempatkan lebih 350 syarikat multinasional (MNC) dan menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah eksport negara memerlukan infrastruktur kewangan yang mampu menyokong aliran modal, operasi perbendaharaan dan pembiayaan rantaian bekalan sejajar dengan perkembangan industri.

“Malah, PTFC akan membuka peluang pertumbuhan kepada lebih 6,500 syarikat dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang melalui penyediaan perkhidmatan kewangan utama seperti modal teroka, ekuiti swasta, pembiayaan perdagangan dan akses kepada pasaran modal,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyambut baik sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan PTFC, termasuk pengumuman Dana Pelaburan Strategik RM100 juta menerusi kerjasama Khazanah Nasional dan InvestPenang.

Menurut beliau, PTFC dirangka untuk melengkapkan ekosistem kewangan sedia ada dengan menghubungkan pasaran modal kepada sektor teknologi dan pengetahuan strategik negara.

Difahamkan, platform itu juga akan menyokong syarikat tempatan sepanjang proses pembentukan modal, daripada peringkat inkubasi dan pengkomersialan sehingga penyenaraian awam, sekali gus menyediakan laluan lebih jelas bagi syarikat pemula untuk berkembang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa PTFC dijangka memperkukuh ekonomi Wilayah Utara, menyokong kawasan perindustrian seperti Kulim Hi-Tech Park serta meningkatkan daya saing pasaran modal negara di peringkat global.

“Bagi merealisasikan potensi tersebut, Pulau Pinang memohon Kerajaan Persekutuan menggembleng modal awam sedia ada bagi menyokong syarikat teknologi dan semikonduktor tempatan, selain menubuhkan kumpulan kerja bersama Persekutuan-Negeri yang melibatkan kementerian, agensi pengawalseliaan dan pihak berkepentingan industri,” serunya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut mencadangkan penubuhan Pusat Fasilitasi Kewangan Teknologi Pulau Pinang bagi membantu syarikat tempatan mendapatkan pembiayaan serta menghubungkan mereka dengan pelabur.

Selain itu, tambah beliau, cadangan lain turut termasuk menempatkan agensi Persekutuan berkaitan di Pulau Pinang, menyatukan insentif serta skim pembiayaan sedia ada dan menyediakan langkah fasilitasi bakat bagi menarik tenaga mahir.

Sementara itu, Kon Yeow turut memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan geran berjumlah RM2 bilion bagi menampung kos komponen rawatan air terawat dan sistem pengagihan dalam Projek Skim Pemindahan Air dari Perak ke Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sokongan pembiayaan Persekutuan penting memandangkan projek berkenaan merupakan pelaburan strategik nasional yang memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Berdasarkan penilaian kejuruteraan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), kos keseluruhan projek dianggarkan RM3.5 bilion, merangkumi RM1.5 bilion bagi pembangunan sumber air mentah di Perak dan RM2 bilion bagi komponen rawatan serta pengagihan air di Pulau Pinang.

“Projek ini tidak wajar dilihat sebagai projek infrastruktur antara negeri semata-mata, sebaliknya sebagai pelaburan nasional yang memerlukan sokongan dan pembiayaan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan ekonomi serta kesejahteraan negara secara keseluruhan.

“Peningkatan mendadak dalam kos utiliti, khususnya tarif air, berpotensi menjejaskan daya tarikan Pulau Pinang dan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama, memandangkan negara jiran turut menawarkan kos utiliti serta infrastruktur yang lebih kompetitif,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kon Yeow berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan geran berkenaan bagi mengurangkan beban kos pembangunan serta memastikan kadar tarif air kekal kompetitif demi melindungi daya saing industri dan kelangsungan pelaburan strategik negara.

Beliau turut menegaskan komitmen Pulau Pinang untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak dan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur air itu berjalan lancar.

Mengakhiri perbahasannya, Kon Yeow berkata kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek yang diumumkan semata-mata, sebaliknya melalui hasil pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS