SPEED MBSB percepat kelulusan projek pembangunan di Seberang Perai

Admin
img 20240510 wa0017

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan Seberang Perai Express and Effective Development MBSP (SPEED MBSP) sebagai inisiatif bagi mempercepatkan kelulusan projek-projek pembangunan di Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata melalui SPEED MBSP, pengeluaran kelulusan bagi pelan pemajuan, tempoh pembinaan, pengeluaran Sijil Penyiapan Dan Pematuhan (CCC) dan pemberian lesen dibuat secara lebih pantas.

Katanya, jumlah prosedur dan piagam hari yang ditetapkan melalui SPEED MBSP adalah lebih singkat daripada piagam yang ditetapkan bagi projek biasa.

“SPEED MBSP diperkenalkan bagi membolehkan interaksi yang berkesan di antara pelabur dan MBSP dalam memudahkan kerja-kerja pembinaan dan akhirnya kelulusan dapat diberikan mengikut garis masa yang telah ditetapkan tanpa kelewatan.

“Selain itu, inisiatif ini juga merupakan salah satu inisiatif MBSP bersama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah program Ease of Doing Business.

“Ini kerana MBSP telah dipilih sebagai salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) Rintis bagi Pelaksanaan Inisiatif Cadangan Penambahbaikan dan Pengukuhan Kecekapan Proses Serta Prosedur Kelulusan Pelan Pemajuan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SPEED MBSP di sini pagi tadi.

img 20240510 wa0019

img 20240510 wa0021

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Azhar berkata, semua projek yang dikenal pasti sebagai projek SPEED MBSP akan diberikan beberapa kelulusan atau peraturan khas bagi mempercepatkan pemprosesan kelulusan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan kejuruteraan.

Katanya lagi, pelaksanaan SPEED MBSP bukan sahaja dapat membantu pelabur dan pemaju dari segi mendapatkan gambaran mengenai kos, masa dan bilangan proses dan prosedur yang terlibat tetapi juga dapat membantu di dalam penjimatan kos pematuhan dan penjanaan hasil yang lebih cepat di kalangan pelabur.

“Inisiatif ini juga dapat menambah baik persekitaran perniagaan seterusnya menarik pelaburan baharu serta mengembangkan pelaburan sedia ada.

“Selain itu, ia juga dapat menyokong pertumbuhan produktivti dan mencipta peluang pekerjaan baharu yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan di samping membawa kepada peningkatan hasil MBSP dan seterusnya impak yang positif kepada negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata kunci kejayaan inisiatif SPEED MBSP dan inisiatif transformasi PBT KPKT adalah bergantung kepada lima perkara iaitu permohonan serentak, proses pra-rundingan, pertimbangan perihal tanah, keputusan mesyuarat JK OSC dan komitmen semua pihak yang terlibat.

“Kejayaan projek SPEED MBSP adalah bergantung kepada komitmen tinggi pemohon atau pelabur termasuk mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan, membuat bayaran-bayaran dalam tempoh dan tidak meminda pelan-pelan yang dikemukakan selepas proses prarundingan dibuat dan selepas kelulusan diberikan.

“Pencapaian piagam jumlah hari setiap proses adalah bergantung kepada kompetensi dan komitmen semua pihak yang terlibat di dalam proses tersebut,” jelasnya.

Azhar berkata, satu Unit MyMudah MBSP telah ditubuhkan bagi memudah cara proses pelaksanaan kelulusan pembinaan ekspress tersebut.

“Unit My Mudah SPEED ini diketuai oleh Setiausaha Bandaraya MBSP yang juga merupakan fasilitator atau ketua pemudah dan pasukan ini terdiri daripada semua pengarah jabatan teknikal dalaman Jawatankuasa Unit Pusat Setempat (OSC) MBSP selaku pemudahcara dan Unit OSC selaku koordinator.

“Setiap Jabatan akan mempunyai pegawai PIC (person-in charge) mengikut daerah atau mukim bagi setiap projek SPEED MBSP,” katanya lagi.

Sementara itu, Mooi Lye semasa berucap sebelum itu menyatakan rasa bangga di atas inisiatif SPEED yang diperkenalkan oleh MBSP dalam mempercepatkan kelulusan projek-projek pembangunan.

“SPEED MBSP bukan sahaja memudahcara proses permohonan dan kelulusan permohonan pemajuan tetapi juga memantau projek yang dilaksanakan sehingga memperoleh CCC dan mula beroperasi.

“Inisiatif ini penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai kawasan tumpuan terutamanya bagi pelaburan perindustrian,” ujarnya.

Mooi Lye berkata, sambil tempoh kelulusan permohonan pemajuan melalui SPEED MBSP adalah lebih pendek iaitu antara 60 hingga 73 hari berbanding 108 hingga 158 hari sebelum ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa MBSP sudah mempunyai projek rintis SPEED yang mana permohonan pemajuan C1 bagi projek industri pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh 52 hari yang mana lebih awal daripada yang ditetapkan.

“Oleh itu, saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada MBSP atas pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD