BAHANG Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kian dirasai sungguhpun masih ada 142 hari lagi sebelum berlangsungnyaedisi ke-22 (XXII) bagi temasya sukan dwi-tahunan terbesar di Malaysia pada 15 hingga 24 Ogos depan.
Sebanyak 27 jenis sukan dengan 474 acara keseluruhan bakal dipertandingkan dalam temanya pada kali ini.
Selangor sebagai tuan rumah kejohanan akan menjadi medan saingan bagi 15 kontinjen termasuk negara Brunei Darussalam di 53 lokasi pertandingan yang merangkumi sembilan daerah di Selangor.
Pada 25 Mac 2026 lepas, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ALISSALA THIAN berkesempatan menemu bual Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), HARRY CHAI HENG HUA di kompleks pejabatnya dekat Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Gelugor.
Sasar 60 pingat emas
Beliau memberitahu bahawa kontinjen negeri Pulau Pinang menyasarkan 60 pingat emas pada SUKMA 2026, berdasarkan rekod pencapaian yang diraih dalam temasya sukan sama pada dua tahun lepas.
“SUKMA 2024 di negeri Sarawak, kita (kontinjen Pulau Pinang) telah melepasi sasaran 40 pingat emas, yang mana kita mencapai kemenangan 41 pingat emas secara keseluruhannya, 45 pingat perak (45) serta pingat gangsa (43).
“Dalam majlis penyerahan Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS), Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow telah memberi cabaran baru iaitu 40 pingat perak yang dimenangi itu, separuh daripadanya dapat ditukar menjadi kepada pingat emas.
“Ini memberi isyarat kepada kita (MSNPP) bahawa perlu tambah 20 lagi pingat emas mesti diraih, menjadi sasaran 60 pingat emas mesti dirangkul pada SUKMA 2026 nanti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sasaran 60 pingat emas itu adalah realistik berdasarkan rekod, keupayaan dan pengalaman kontinjen negeri menyertai tiga siri SUKMA sebelum ini.
Di samping itu, menurut beliau, MSNPP menyedari bahawa kontinjen negeri mempunyai barisan jurulatih berpengalaman dalam kalangan bekas atlet negeri serta sokongan padu daripada persatuan-persatuan sukan yang terbabit dalam membuat persiapan bagi memburu kejuaraan dalam kejohanan sukan sama ada pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Kita memasuki saingan SUKMA 2026 dengan menetapkan ‘Eyes on Gold’ sebagai tema kontinjen Pulau Pinang, yang mana membawa maksud mata kita memang fokus nak memburu pingat emas.
“Bagi memburu kedudukan sekurang-kurangnya enam atau tujuh dalam carta saingan, sebenarnya sejak SUKMA 2024 lagi MSNPP kerap mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan sukan negeri yang terlibat, serta barisan jurulatih yang memantau tahap perkembangan atlet-atlet negeri.
“Sehingga kini, kita (MSNPP) telah mengadakan lima kali mesyuarat Jawatankuasa Prestasi Tinggi Pulau Pinang (JPTPP), yang mana pada setiap kali mesyuarat bukan sahaja membincangkan mengenai prestasi semasa atlet kita, malah turut memperhalus kedudukan kita (Pulau Pinang) untuk memperbaiki kedudukan berbanding kontinjen negeri lain,” ujarnya.
Acara sukan berindividu
Melihat prestasi atlet negeri dari semasa ke semasa, Heng Hua menyatakan bahawa MSNPP seakan ada kecenderungan untuk memberi tumpuan yang lebih pada acara sukan berindividu berbanding jenis sukan berpasukan bagi mencapai sasaran 60 pingat emas pada SUKMA 2026 nanti.
“Apa yang kita (MSNPP) laksanakan adalah memberi fokus kepada sukan-sukan jenis individu seperti gimnastik, menembak, karate, taekwondo, muay thai dan beberapa sukan jenis individu lagi.
“Jadi, untuk beberapa sukan jenis berpasukan, misalnya, bola sepak lelaki serta wanita; futsal lelaki serta wanita; bola keranjang lelaki serta wanita; bola tampar lelaki serta wanita; ragbi dan bola lisut, kita (MSNPP) mengharapkan bahawa mereka dapat sekurang-kurangnya melepasi peringkat suku akhir dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa.
“Kalau tak boleh pun (untuk acara sukan jenis berpasukan yang MSNPP hantar atlet), jangan apa orang kata, tewas di peringkat pertama,” ulasnya lanjut.
Dalam SUKMA 2026, difahamkan, akan menyaksikan 30 sukan teras termasuk sukan utama seperti olahraga, akuatik, bola sepak, hoki, badminton dan lain-lain.
Sukan tambahan pula, ada tujuh sahaja iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi, yang mana menjadikan jumlah keseluruhan sukan yang dipertandingkan sebanyak 37 jenis sukan.
Heng Hua menambah bahawa setakat ini, MSNPP menghantar penyertaan penuh untuk 37 sukan teras, serta beberapa sukan tambahan seperti catur dan e-sukan.
“Jadi, kita (MSNPP) hantar atlet sebab nak menang, kalau kita mendapati prestasi semasa mana-mana atlet dalam sesi latihan atau kejohanan lokal tidak capai piawaian, mereka akan digugurkan.
“30 sukan teras, setakat ini penyertaan penuh (yang mana) telah kita (MSNPP) tetapkan, tiap-tiap jenis sukan sekarang-kurangnya menyumbang satu pingat emas.
“Dan, kalau secara atas kertas, setiap jenis sukan boleh menyumbang dua pingat emas, maksudnya misi bersama untuk merangkul sekurang-kurangnya 60 pingat emas dalam SUKMA 2026 dicapai,” katanya.
Cabaran
Walaupun MSNPP dengan kerjasama erat daripada pasukan jurulatih bertauliah serta persatuan-persatuan sukan yang terlibat memberi tumpuan pada meningkatkan prestasi atlet, Heng Hua berkata bahawa kontinjen negeri masih mempunyai kekangan serta cabaran.
Selain kekangan kewangan, tambah beliau, MSNPP juga menghadapi cabaran untuk mengukur kemampuan serta prestasi atlet disebabkan tidak ada kejohanan selayak bagi menyaring bakat.
“Bagi acara sukan tertentu, apabila tiada penganjuran pertandingan sukan kebangsaan (PSK) yang setaraf, memang payah untuk kita menilai kemampuan atlet.
“Kalau ada pun inisiatif persatuan sukan negeri menganjurkan pertandingan peringkat PSK, kita menghadapi cabaran juga dari sudut menerima penyertaan atlet yang berkelayakan.
“Namun, kadang-kadang di negeri lain pun berlaku (yang mana) pasukan sukan dari negeri lain tidak menghantar penyertaan dalam kejohanan yang kita anjurkan kerana strategik mereka untuk menyimpan bakat untuk penyertaan SUKMA 2026,’’ ujarnya.
Menyambung bicara wara, Heng Hua memberitahu bahawa MSNPP bagaimanapun tidak menganggap segala cabaran dan kekangan yang didepani bersama tersebut membunuh program pengembangan atlet negeri.
Ini kerana menurutnya, langkah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen meneruskan SKIMAS ternyata senantiasa membakar semangat atlet, jurulatih dan persatuan sukan untuk memburu pingat.
Mengakhiri sesi temu ramah, Heng Hua memberitahu bahawa MSNPP bersama persatuan-persatuan sukan negeri dan barisan atlet sehingga kini secara umum telah membuat 80 peratus persiapan bagi menghadapi saingan SUKMA 2026.
“Kebiasaannya, mana-mana kontinjen pun akan membuat hitung detik 100 hari sebelum SUKMA, tetapi kita (MANPP) memulakan hitung detik 120 hari.
“Kita bakal melaksanakan ‘countdown’ pada 12 April 2026 (yang mana) berbakikan tempoh 120 hari, yang mana kita berasa kita perlukan empat bulan iaitu 120 hari untuk hitung detik untuk memacu sebaik mungkin prestasi optimum para atlet kita,’’ kata beliau.