SUKMA: atlet wushu, judo tuai empat lagi pingat emas untuk Pulau Pinang

IPOH- Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang hari ini menuai empat lagi pingat emas, satu melalui wushu sanda (tempur) dan tiga dari acara judo.

Seawal pagi, kontinjen diceriakan dengan persembahan bertenaga Teh Chee Chong apabila beliau berjaya  menundukkan lawannya dari Kedah bagi acara sanda kategori 56 kilogram (kg).

“Saya happy hari ini dapat tambah emas untuk Pulau Pinang, tambahan pula ini kali pertama sanda dipertandingkan di SUKMA jadi saya harap ianya akan dipertandingkan lagi di Johor kerana saya masih berpeluang untuk beraksi di sana,” ujar atlet berusia 18 tahun tersebut kepada wartawan Buletin Mutiara.

Manakala bagi sukan judo, emas turut diraih melalui aksi cemerlang Ummi Nazeerah Amran bagi kategori wanita 48kg,  Goh Xuan Le (wanita, 52kg) dan S. Kamini,  (wanita,57kg).

Pada persaingan yang berlangsung hari ini, Pulau Pinang turut menambah tiga lagi pingat perak  dan gangsa (2). 

Pingat perak disumbangkan Cheah Shang Yang bagi acara wushu nangun, Tan Tze Ning  bagi judo (lelaki, 90kg) dan Chan Lu Yi, wushu (wanita, taijijian)

Manakala Amirul Husni dan Chua Yong Zheng masing-masing menyumbang pingat gangsa bagi kategori wushu sanda 70kg dan wushu taijijian.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD