Sumbang 20,000 dos vaksin simbol solidariti Selangor, Pulau Pinang ‘merdekakan’ negeri daripada ancaman COVID-19

ACARA gimik penyerahan 20,000 dos vaksin oleh Amirudin Shari (depan, kanan sekali) kepada Ketua Menteri (depan, dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (depan, tiga dari kiri) dan seorang individu lain di perkarangan depan SP Arena, Seberang Jaya pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 hari ini, Kerajaan Negeri Selangor menyumbang 20,000 dos vaksin secara percuma kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan sumbangan tersebut sebagai simbol solidariti kedua-dua negeri dalam ‘memerdekakan’ tanah air tercinta daripada ancaman COVID-19 kini.

“Ini, merupakan tanda solidariti antara warga Selangor dan warga Pulau Pinang dalam perang melawan COVID-19,” jelasnya dalam sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena, Seberang Jaya di sini pada 31 Disember 2021.

Sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha murni itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut berharap hubungan serta kerjasama antara kedua-dua Kerajaan Negeri berkenaan kian erat pada masa hadapan.

Pada 19 Ogos lepas, dilaporkan, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan hasrat untuk meminjamkan bekalan 500,000 dos vaksin SelVAX kepada negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amirudin memberitahu bahawa dengan mempercepatkan perbekalan vaksin yang memang diperlukan oleh warga negeri, ia akan melandaikan kembali kes positif COVID-19 sekali gus merosotkan kapasiti jumlah pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan di hospital-hospital sedia ada.

“Alhamdulillah dengan pelbagai usaha yang telahpun dibuat pada peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, di negeri Selangor memperlihatkan trend penurunan (kes baharu COVID-19).

“Dan, apa yang saya sebut dalam mesyuatat bersama-sama Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang, kita melihat kalau kita tidak melakukan sesuatu seperti proses vaksinasi segera, di Pulau Pinang dan beberapa buah negeri, kemungkinan lonjakan kes akan berlaku sebagaimana pengalaman kita di negeri Selangor sebelum ini,” ujarnya.

Di samping itu, Amirudin berkata bahawa pihaknya berharap dengan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menyumbang vaksin berkaitan secara percuma, ia dapat meningkatkan lagi tahap kekebalan dan imunisasi kelompok di semua negeri yang terlibat.

Sebelum itu, Kon Yeow dan kepimpinan Kerajaan Negeri menerima kunjungan hormat delegasi Amirudin di Pejabat Ketua Menteri, Komtar. Dalam pertemuan berkaitan, kedua-dua pihak berkongsi pengalaman masing-masing dalam usaha menghadapi pandemik pandemik COVID-19 termasuk program imunisasi yang mana Pulau Pinang dan Selangor akan terus berkerjasama demi keselamatan serta kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING