Sumbangan komputer diharap bantu mudahkan urusan pentadbiran pegawai polis – MP

Admin

AIR ITAM – Ahli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Wong Hon Wai hari ini memberikan sumbangan berupa dua set peralatan komputer bernilai RM6,400 kepada Balai Polis Kampung Baru, di sini.

Menurutnya, sumbangan tersebut adalah bertujuan membantu melicinkan kerja-kerja pentadbiran yang dilaksanakan pegawai-pegawai yang terlibat.

“Seperti semua sedia maklum, balai polis berperanan penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan penduduk di sini.

“Oleh itu, selain sumbangan komputer, kita juga telah meluluskan projek penurapan jalan di perkarangan balai (Balai Polis Kampung Baru) dengan kos sebanyak RM32,000 bagi memudahkan lagi urusan para pegawai untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti kawad kaki dan sebagainya,” katanya sejurus menyerahkan sumbangan tersebut dekat Balai Polis Kampung Baru di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Balai Polis Kampung Baru, Sub Inspektor Rahmat Din dan Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Hong Kian Beng.

Difahamkan, sebanyak 14 projek penyelenggaraan dengan kos berjumlah RM233,000 bagi kawasan Air Putih telah diluluskan yang merangkumi kerja-kerja depo sampah, pembinaan longkang dan penurapan jalan.

Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bahagian pulau kini mencecah lebih 200.

“Sekolah-sekolah di Balik Pulau telah ditutup pagi tadi manakala sekolah-sekolah di Timur Laut, para pelajar dibenarkan pulang pada jam 12 tengah hari tadi.

“Oleh itu, saya menasihatkan para ibu bapa untuk memantau laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa,” beritahunya lagi.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN