GEORGE TOWN – Lebih 1,400 anggota daripada 17 kontinjen termasuk dari negeri Sabah dan Sarawak menyertai acara perbarisan sempena Majlis Pembukaan Latihan Bersepadu Kemahiran Pertahanan Awam Dan Sukan Pertahanan Awam (SUPAM) di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Semasa merasmikan acara pembukaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa insiatif Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menganjurkan program dwitahunan tersebut diharap dapat meningkatkan kemahiran serta menyemarak semangat berpasukan dalam kalangan para anggota agensi berkenaan.
“Penganjuran latihan bersepadu ini adalah medan penting untuk menguji kecekapan, ketahanan fizikal dan kekuatan mental anggota APM.
“Pada masa sama, ia juga bagi memperkukuh kerjasama erat antara semua peringkat serta turut mengasah ketangkasan kita untuk bertindak balas terhadap cabaran semasa, terutama dalam menghadapi bencana yang semakin kompleks,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan di sini.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang; Ketua Pesuruhjaya APM, YAS Dato’ Aminurraahim Mohamed dan Timbalan Pesurunjaya Bersekutu (PA), Dato’ Ismail Mohd. Zawawi turut sertai acara tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menganggap pendekatan APM menganjurkan latihan kemahiran secara bersepadu tersebut adalah seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang menekankan agenda pembangunan sosioekonomi rakyat, peningkatan taraf hidup serta pengukuhan peranan agensi tempatan dalam memperkasa modal insan.
“Ia turut mendukung gagasan Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, daya cipta serta ketahanan masyarakat.
“(Pendekatan bersepadu dalam latihan kemahiran ini) juga dilihat bergandingan dengan Visi Penang2030, iaitu membina negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga sebagai inspirasi negara,” ujarnya.
Difahamkan, edisi penganjuran kali ini yang berlangsung sehingga 11 September 2025 menampilkan sembilan acara utama yang merangkumi kemahiran pertahanan awam, pertandingan tarik tali, tenis meja, bola sepak, badminton, bola tampar, bola jaring, pelbagai acara balapan demi merebut 78 pingat emas, perak (78) dan gangsa (78).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT