Taman Herba Bertam bakal jadi ikon pelancongan baru Pulau Pinang

Admin

BERTAM – Pihak Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam sebagai lokasi bagi pembangunan Taman Herba di negeri ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Taman Herba Bertam bakal menjadi ikon pelancongan baru Pulau Pinang selain membantu meningkatkan ekonomi golongan petani.

“Matlamat utama pelaksanaan pembangunan taman ini adalah untuk menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan yang menarik di Pulau Pinang.

“Justeru, dengan adanya aktiviti pelancongan berasaskan kegiatan pertanian seperti ini dijangka dapat menjana aktiviti ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan sekaligus meningkatkan pendapatan penduduk.

“Malah, langkah ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang memberikan penekanan kepada lima teras utama pembangunan negeri serta mendukung Agenda Hijau seperti digariskan dalam visi Penang2030,” katanya pada majlis perasmian Taman Herba, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dato’ Seri Farizan Darus; Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Mohd. Nasir Waris serta Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang Mohamad Muhaimin Ibrahim.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin dalam ucapannya memberitahu bahawa pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan herba dalam kehidupan seharian.

“Pembangunan Taman Herba Bertam memang tepat dan selari dengan teras utama ekonomi Daerah Seberang Perai Utara iaitu berteraskan aktiviti pertanian dalam menjadikan Pulau Pinang bersih, hijau dan selamat.

“Dari tahun 2013 hingga 2017, tanah seluas 42 hektar telah dibangunkan melibatkan 25 usahawan dengan catatan nilai pengeluaran kini berjumlah RM102,200 namun ia perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, saya menyarankan agar pihak jabatan di bawah Pembangunan Industri Asas Tani (berkaitan hasil herba) perlu meningkatkan lagi usaha dalam pembangunan mutu dan kepelbagaian produk,” saran ADUN Pinang Tunggal itu lagi.

Teks dan Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN