Tampil kelainan, City Ride 2018 tarik 1,500 peserta

PULAU BETONG – Santai dan menarik merupakan pengalaman dilalui 1,500 peserta program kayuhan santai City Ride 2018 pada penganjuran keempat di sini baru-baru ini.

Berkayuh melalui kawasan kampung, bukit-bukau, sawah padi sejauh 30 kilometer (km) cukup menyeronokkan peserta yang majoritinya teruja dengan pemandangan asli luar bandar di Balik Pulau.

Mantan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, acara sedemikian kebiasaannya dianjurkan di kawasan George Town. “Pada pendapat saya, walaupun ia dinamakan City Ride dan Balik Pulau merupakan kawasan luar bandar, namun harus diingatkan bahawa status bandar raya adalah meliputi seluruh pulau…jadi sesuailah kita adakan (City Ride) di sini.

“MBPP juga akan mempertimbangkan sama ada tahun hadapan ia akan dianjurkan di Balik Pulau atau bertukar ke George Town semula,” katanya sebelum melepaskan para peserta di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha MBPP (kini Datuk Bandar), Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Datuk Bandar bagi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Yeo Boon Hai. DBKK yang menerima undangan khas, turut menghantar 10 wakilnya menyertai kayuhan santai tersebut.

Menurut Maimunah, dalam menggalakkan acara berbasikal di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui MBPP dengan kerjasama pihak swasta telah membelanjakan kira-kira RM30 juta bagi menyediakan laluan basikal.