Terima kasih sebab bantu – Rohani

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

WALAUPUN berat hati, tapi kebanyakan daripada penduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi kini redha dan menerima hakikat bahawa mereka terpaksa mengosongkan kampung tersebut dalam tempoh tiga bulan sepertimana persetujuan yang dicapai di antara pihak Kerajaan Negeri, tuan tanah dan wakil penduduk baru-baru ini.

“Kami terpaksa akur, walaupun sedih tiada langsung pampasan yang diberikan oleh tuan tanah,” kata penduduk Kampung Mutiara, HISYAMUDIN SAID, 55, selepas diarah mengosongkan tanah dalam tempoh tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 31 Julai lalu.

Isteri beliau, CHE MELUR OSMAN, 51, yang merupakan penduduk asal tersebut menyatakan bahawa mereka sekeluarga tidak mempunyai pilihan lain walaupun kampung tersebut sangat bersejarah buat dirinya kerana dilahir dan dibesarkan di situ.

“Majoriti penduduk sememangnya lahir dan membesar di sini. Malah, tok dan nenek juga dikuburkan di sini.

“Kami tunggu rumah (sementara) yang mereka kata nak bagi…,” ujarnya ketika ditemui di program turun padang bersama-sama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Turut serta Ahli-ahli Majlis MBPP, Chris Lee Chun Kit dan Syerleena Abdul Rashid.

Pada 5 Ogos lalu, ketika menyertai program berkenaan, wakil Buletin Mutiara berpeluang mendekati beberapa penduduk untuk bertanyakan perkembangan mereka selepas kemelut yang melanda kampung berkenaan dan berlanjutan sejak tahun 2007.

Menurut Che Melur, penduduk kampung tersebut kebanyakannya adalah penduduk asal yang menetap di atas tanah sebuah hotel terkemuka di sini kini, sebelum dipindahkan ke Kampung Mutiara ekoran tanah tersebut dibangunkan sebagai sektor perhotelan.

Difahamkan, seramai 70 penduduk Kampung Mutiara akan ditempatkan sementara di Sri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong,  sebelum berkemungkinan ditempatkan semula di tapak asal kampung tersebut selepas projek pembangunan selesai kelak.

Bagi ROHANI JAAFAR, 64, yang telah menetap dikampung tersebut semenjak 40 tahun lalu memberitahu, beliau menyambut baik tawaran penempatan sementara yang diberikan.

Rohani yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai makcik mengucapkan terima kasih di atas inisiatif Kerajaan Negeri  menyediakan penempatan sementara buat penduduk.

“Makcik harap dapat rumah saja untuk tinggal… makcik tak minta duit.

“Harap mereka buat yang terbaik untuk penduduk, gantikan rumah… tak kisah kat mana saja asalkan boleh tinggal. Terima kasih sebab bantu,” ujarnya yang telah kematian suami tahun lalu.

Rohani kini menetap di Kampung Mutiara bersama-sama dua anak lelakinya yang masing-masingnya merupakan pengayuh beca dan Pekerja Am di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menurut dua lagi penduduk, ROKIAH ALI, 62, dan CHE SU ABD. AZIZ, 65, mereka akur dengan perintah pengosongan tersebut walaupun sedih.

“Walaupun sedih, tapi sekurang-kurangnya syukur sebab mereka dah janji sediakan tempat tinggal sementara.

“Moga dapat balik semula kat sini jika ada projek pembangunan nanti,” ujar Che Su.

Sambil mengiakan kata-kata Che Su, Rokiah memberitahu, kedua-dua mereka yang merupakan jiran telah mula mengemas barang-barang keperluan untuk dibawa pindah.

“Tinggal di sini hampir 50 tahun, banyak yang perlu mengemas,” ujarnya ringkas menamatkan sesi perbualan dengan Buletin Mutiara baru-baru ini.

Terdahulu, Zairil meluangkan masa hampir tiga jam mengunjungi Kampung Mutiara untuk bertanyakan khabar penduduk sambil mengedarkan buah tangan kepada mereka.

Zairil ketika ditemui berkata, inisiatif khas turun padang tersebut diadakan untuk meninjau perkembangan penduduk setempat selepas kemelut pengusiran penduduk di Lot 39 dan 40 kampung berkenaan melalui perintah mahkamah pada 31 Julai lalu.

“Alhamdulillah sambutan penduduk amat baik.

“Semuanya (penduduk) nampak jelas dengan usaha Kerajaan Negeri dan wakil rakyat yang membantu mereka.

“Saya kira ini petanda positif dan berharap satu penyelesaian baik untuk semua akan tercapai,” ujarnya.

Selain Kampung Mutiara, Zairil yang mengetuai program turun padang tersebut turut menziarahi 300 isi rumah lain di empat kampung berdekatan iaitu Kampung Che Mat, Kampung Kubur, Kampung Din Bambu dan Kampung Rasa Sayang.