Terus beri kerjasama kekalkan bahagian pulau sebagai zon hijau – Datuk Bandar MBPP

GEORGE TOWN – Dua daerah di bahagian pulau negeri ini diisytihar sebagai zon hijau COVID-19 pada 27 April lalu apabila tiada kes baru dikesan untuk tempoh dua minggu berturut-turut sehingga hari ini.

Walau bagaimanapun, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang menyeru agar semua pihak untuk terus memberikan kerjasama bagi memastikan bahagian pulau kekal sebagai zon hijau COVID-19.

“Sejak permulaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MBPP bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat menjalankan operasi untuk memastikan PKP serta jarak sosial dipatuhi.

“Justeru, Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan barisan hadapan (frontliners), backliners serta rakyat Pulau Pinang.

“Namun, kita tidak boleh leka dan perlu terus memberikan kerjasama agar bandar raya kita kekal menjadi zon hijau,” katanya pada Mensyuarat Biasa Majlis yang diadakan secara dalam talian, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Tung Seang berkata bahawa MBPP juga telah melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu meringankan beban penduduk di negeri ini yang terkesan sepanjang pelaksanaan PKP.

“Antara inisiatif yang kita laksanakan adalah termasuk Jom Beli Online atau JBO@MBPP khusus untuk membantu para penjaja dan peniaga bazar Ramadan dapat menjalankan perniagaan secara atas talian.

“Selain itu, Majlis juga memperkenalkan Business From Home bagi mereka yang ingin mengusahakan perniagaan makanan dari rumah serta Business From Farm untuk pekebun dan penjual durian,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Tung Seang menjelaskan bahawa MBPP juga giat menjalankan beberapa perkhidmatan secara digital termasuk pembangunan Integrated Local Council Solution (ILCS) yang mana proses permohonan pelan kebenaran merancang, pelan bangunan dan sebagainya dapat dikemukakan secara atas talian.

“Hampir kesemua urus niaga Majlis juga telah menuju ke arah tanpa tunai dan bayaran boleh dibuat melalui platform dan eko-sistem sedia ada.

“Malah, Majlis turut memberikan bantuan kepada semua syarikat dan kilang yang dibenarkan beroperasi dengan memproses permohonan mereka untuk melanjutkan waktu operasi dalam tempoh 24 jam.

“Oleh itu, kita juga berharap agar orang ramai bersedia untuk mengadaptasikan norma baru yang mementingkan keselamatan awam, kebersihan diri dan mengamalkan jarak sosial serta menjalankan pemulihan ekonomi secara digital,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBPP