Terus semarakkan semangat muhibah melalui program imarah masjid, seru Ahmad Zakiyuddin

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri sekali) menyerahkan cek replika sumbangan kepada Jusni Ismail (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri lain di Masjid Batu di sini pada petang tadi.

SEBERANG JAYA – Masuk hari kesembilan sambutan ‘bulan ibadah’ Ramadan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada lewat petang tadi menyeru semua pihak supaya terus menyemarakkan semangat muhibah melalui program-program pengimarahan di semua 246 masjid dan surau seluruh negeri ini.

 

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Masjlis Iftar Jamaie di Masjid Batu dekat Kampung Pertama di sini.

“Program (Iftar Jamaie Bersama-sama TKM I) ini merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan jaringan dengan institusi masjid berkonsepkan semangat muhibah, diharap dapat mewujudkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan pentadbir institusi Islam negeri dan masjid,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Batu, Jusni Ismail selaku tuan rumah program tersebut.

Turut serta, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Dr. Roslan Ahmad; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat; Hakim Mahkamah Rendah Syariah SPT, YA Mohd. Hayazi Yusoff; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Hanif Omar dan Jawatankuasa Pemantau Kariah JHEAIPP, Nik Mohd. Huzaidi Nik Hassan.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut mengulangi komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam memartabatkan pendidikan agama dan kedudukan umat Islam di negeri ini melalui agenda ‘Khaira Ummah 2030′.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal berkongsi kebimbangan mengenai kadar peratusan kanak-kanak beragama Islam yang masih belum lengkap menerima vaksin agak tinggi di negeri ini.

“(Walhal), vaksin ini adalah untuk mengurangkan kesan daripada wabak COVID-19 dalam kalangan anak-anak kita terutama semasa sesi persekolahan secara fizikal nanti,” jelasnya lagi.

Serentak pada majlis sama, Ahmad Zakiyuddin turut menyampaikan cek replika sumbangan bernilai RM7,500 kepada pihak Masjid Batu, serta mengagihkan bantuan ‘cenderahati’ kepada 10 asnaf terpilih di kariah berkenaan.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR