Terus teliti setiap maklum balas, pastikan pelaksanaan cukai tanah adil dan menyeluruh

Admin
img 20260406 wa0041

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa pertemuan dengan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pagi tadi hanya perbincangan biasa melibatkan pelaksanaan pelarasan semakan kadar cukai tanah baharu di negeri ini

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SRS Consortium Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan YB Lim Guan Eng pada 8:45 pagi tadi, dan beliau menimbulkan beberapa isu berkaitan dengan kadar cukai tanah.

“Beliau membangkitkan kes-kes spesifik seperti kadar cukai tanah yang dikenakan kepada tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), organisasi bukan berasaskan keuntungan dan sebagainya.

“Sebenarnya, isu-isu yang beliau bangkitkan adalah berdasarkan aduan yang diterima daripada pemilik tanah dan kita akan meneliti perkara-perkara tersebut,” katanya.

Turut hadir, Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Connie Tan Hooi Peng (ADUN Seri Delima); Wong Huee Yarng (ADUN Pengkalan Kota) dan Pengarah Projek SRS Consortium (SRS) Sdn. Bhd., Adil Putra Ahmad.

img 20260406 wa0056img 20260406 wa0058img 20260406 wa0050img 20260406 wa0071img 20260406 wa0069

Walau bagaimanapun, Kon Yeow menjelaskan bahawa pengumuman kadar cukai tanah yang dibuat sebelum ini sebenarnya telah merangkumi sebahagian besar aspek berkaitan, justeru perbincangan tersebut berlangsung secara ringkas tanpa sebarang isu yang rumit.

“Mesyuarat hanya mengambil masa kira-kira 15 minit dan tidak melibatkan perkara yang kompleks,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa adalah tidak mungkin untuk menjangkakan semua aduan dapat diterima secara serentak, memandangkan setiap kes mempunyai keunikan tersendiri.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus meneliti setiap maklum balas yang diterima dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan kadar cukai tanah dapat dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Pada 30 Mac lalu, Kon Yeow turut membentangkan laporan penuh berhubung pelaksanaan cukai tanah baharu di Pulau Pinang dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Laporan berkenaan dibentangkan bagi tujuan makluman semua inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu mengurangkan impak kenaikan kadar cukai tanah baharu kepada pemilik tanah.

Sementara itu, Adil Putra dalam ucapan ringkasnya memaklumkan bahawa Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara terus menunjukkan perkembangan positif apabila kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya, sekali gus mencerminkan komitmen padu pelbagai pihak dalam merealisasikan inisiatif pengangkutan awam berimpak tinggi tersebut.

Menurut beliau, tahun pertama projek tertumpu kepada fasa persediaan dan kerja-kerja awalan, manakala tahun kedua menyaksikan peralihan kepada fasa pembinaan utama yang lebih rancak serta tersusun.

Tambahnya, kemajuan projek kini dapat dilihat dengan jelas di sepanjang jajaran LRT termasuk pelaksanaan aktiviti pembinaan di tapak-tapak stesen, kerja-kerja pelebaran jalan raya serta penguatkuasaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

“Selain itu, operasi di SBG Casting Yard yang terletak di Sungai Ular, Kulim turut berjalan aktif sebagai sebahagian daripada komponen penting dalam menyokong pembinaan infrastruktur projek berkenaan.

“Seiring perkembangan semasa, projek LRT Laluan Mutiara dijangka memasuki tahap pelaksanaan yang lebih intensif dalam tempoh terdekat.

“Justeru, kerjasama berterusan daripada semua pihak dilihat penting bagi memastikan momentum pembangunan dapat dikekalkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Adil Putra memberitahu bahawa SRS turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri, jabatan teknikal, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta rakan-rakan strategik.

“SRS komited untuk melaksanakan projek ini dengan penuh tanggungjawab, di samping mengutamakan aspek keselamatan, kelestarian serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS