Teruskan pemantauan, Pulau Pinang masuki Fasa 4 PPN

Admin

SEBERANG JAYA – Pulau Pinang dalam satu atau dua minggu lagi mungkin seperti beberapa negeri lain yang telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), ianya terpulang serta bergantung kepada persetujuan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada peringkat Persekutuan.

Dalam respons lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dengan mengambil kira trend semasa berkaitan di Pulau Pinang bagi memenuhi kriteria ditetapkan pada peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Daripada angka (kes harian positif COVID-19 di Pulau Pinang) yang kita (Kerajaan Negeri) memantau, ada penurunan, begitu juga kadar penggunaan katil di wad ICU (unit rawatan rapi) pada satu ketika pernah sampai lebih 90 peratus, tetapi sekarang dalam lingkungan lebih 60 peratus.

“Ini, menunjukkan satu kemajuan ke arah terkawalnya tekanan terhadap kemudahan sektor perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini.

“Ekoran daripada penurunan kes-kes dalam tempoh lebih satu bulan ini, daripada angka 2,400 (kes baharu positif COVIOD-19 sehari, turun seperti hari ini yang mencatatkan 279 kes…suatu perubahan amat positif.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) akan melihat penurunan penggunaan katil-katil; apabila sampai pada kadar 50 peratus, yang mana ianya dipantau oleh Kementerian Kewangan, dan akan mencadangkan kepada Mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara) apabila mana-mana negeri sudah memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kalau trend ini diteruskan, saya jangka dalam beberapa minggu lagi, kita (Pulau Pinang) dapat memenuhi kriteria, supaya beralih ke fasa berikutnya (Fasa 4 PPN),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pada 24 Oktober 2021.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dan pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abd. Hamid turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD