The Light Waterfront Fasa 2 tanda penjanaan pelaburan mampan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Pemaju hartanah, IJM Land Berhad (IJM) baru-baru ini memetarai perjanjian perkongsian strategik dengan Perennial Real Estate Holdings Limited (PREH), sebuah syarikat hartanah bersepadu dari Singapura untuk membangunkan kira-kira 13.26 hektar tanah sesiaran pantai berstatus pegangan bebas di Gelugor iaitu The Light Waterfront Fasa 2.

Perjanjian tersebut dimeterai di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada Majlis Menandatangani Usahasama Rasmi antara IJM dan PREH di sini baru-baru ini.

Ketika berucap, Guan Eng menyifatkan projek perkongsian dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion tersebut bakal mengubah landskap Pulau Pinang terutamanya dari segi kemasukan pelabur asing dan juga sebagai rangsangan bagi sektor pelancongan negeri.

“Tapak tersebut (projek pembangunan) akan dibangunkan secara berperingkat mulai tahun 2018 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022 merangkumi pembangunan bersepadu campuran dan pembinaan pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) yang bakal menjadi mercu tanda Pulau Pinang.

“Usahasama ini juga menandakan penjanaan pelaburan mampan dalam jangka masa panjang sekaligus mengangkat nama Pulau Pinang bukan sahaja sebagai sebuah negeri warisan dunia, tetapi juga sebagai destinasi ikonik pelaburan dan pelancongan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan
Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Ketua Pegawai Eksekutif IJM Group, Datuk Soam Heng Choon, Pengarah Urusan IJM, Edward Chong Sin Kiat dan Ketua Pegawai Eksekutif PREH, Pua Seck Guan turut sama hadir pada majlis tersebut.

Melalui perjanjian tersebut, IJM dan PREH masing-masing akan mempunyai kepentingan 50 peratus dan bakal memanfaatkan kekuatan serta kepakaran masing-masing bagi merealisasikan pembangunan ikon sesiaran pantai The Light Waterfront Fasa 2.

Dilihat sebagai mega ikon Pulau Pinang, projek tersebut akan melibatkan pembangunan dinamik pusat membeli-belah, kedai-kedai
bertema, kedai runcit, kediaman, pejabat, hotel, taman rekreasi dan pusat konvensyen.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);