Tiada Exco, ADUN positif COVID-19

GEORGE TOWN – Tidak ada mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didapati positif COVID-19 setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang pada sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, keputusan tersebut adalah berdasarkan saringan COVID-19 menggunakan RT-PCR yang diterima daripada hospital yang bertanggungjawab menjalankan ujian ke atas semua wakil rakyat terlibat.

“Setakat ini, keputusan ujian RT-PCR yang diterima secara sah daripada pihak hospital adalah menunjukkan bahawa semua ahli Exco dan wakil rakyat yang disenaraikan adalah negatif.

“Bagi persidangan kali ini, bukan sahaja ahli Exco dan ADUN, malah Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Ahmad Fuzi Abdul Razak juga turut menjalani ujian yang sama dan telah disahkan negatif.

“Sebagai makluman, ujian PCR ini adalah dijalankan melalui hospital dan makmal yang mana keputusan yang terima memerlukan masa sekurang-kurangnya sehari,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa terdapat beberapa lagi ADUN masih belum menjalani ujian RT-PCR yang merupakan syarat wajib bagi menyertai persidangan DUN kali ini.

“Di sini saya hendak tegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk wakil rakyat yang gagal menunjukkan keputusan ujian RT-PCR dengan keputusan negatif, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan persidangan.

“Ujian RT-PCR yang dijalankan di luar negeri Pulau Pinang juga diterima asalkan keputusan yang diperolehi adalah negatif,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tidak ada mana-mana wakil rakyat yang memohon untuk tidak menghadiri persidangan DUN setakat ini.

“Selain itu, semua wakil rakyat juga difahamkan telah selesai menerima dua dos lengkap vaksin,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD