Tiada keperluan tutup masjid, surau di Zon Merah – TKMI

Admin

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa buat masa ini belum ada keperluan untuk menutup operasi masjid dan surau di zon merah dekat negeri ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata demikian ketika mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Penjara Reman Pulau Pinang dekat George Town dan Penjara Seberang Perai, Jawi yang bermula 12.00 tengah malam tadi.

Menurutnya lagi, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ketika ini akan memberi tumpuan pada meningkatkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kedua-dua zon merah yang terlibat.

“Tiada surau dan masjid yang ditutup setakat ini kerana tiada keperluan.

“Kita sedang memikirkan untuk meningkatkan SOP yang sudah kita lakukan, kebenaran untuk hadir ke masjid, mungkin kita akan pendekkan waktu berjemaah, minta masjid dan imam untuk ringkaskan atau pendekkan waktu (operasi di masjid dan surau di kawasan terbabit),” responsnya yang juga Yang Dipertua MAINPP kepada pemberita di Hotel Ixora dekat sini pada 22 Oktober 2020.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang baharu, Mohd. Zakuan Zakaria, dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali turut sertai sidang media tersebut.

Jelas Ahmad Zakiyuddin lagi, MAINPP akan memperketatkan SOP di kedua-dua lokaliti berkenaan sekiranya ada perintah sedemikian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang.

“Kecuali tempat yang diperketatkan, kita (Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Pulau Pinang, JKKNPP) ikut perintah kawalan yang diperlukan,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zakiyuddin turut menjelaskan mengenai perkembangan semasa di pusat jagaan dan rumah kebajikan Kompleks Darul Hanan, Pongsu Seribu yang melibatkan lapan kes positif COVID-19.

“Sekarang tempat itu dikawal, semuanya dikuarantin, orang tua (yang sah COVID-19) masih menerima rawatan, tidak dibenarkan orang luar keluar masuk di situ,” jelasnya lagi.

Sebelum itu, Ahmad Zakiyuddin meraikan 288 pengetua dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) dalam satu acara jamuan minum petang di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS