‘Tiada wakil rakyat sertai mesyuarat HOPE’, Exco Perumahan respons Ketua Pembangkang

7b778ee4 214c 4353 b7ce 1c40a78e6508

GEORGE TOWN – Di Negeri Pulau Pinang buat masa ini memang tiada cadangan untuk melantik atau melibatkan mana-mana wakil rakyat daripada penyokong kerajaan (backbencher) mahupun pembangkang untuk menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi dan Pencapaian Perumahan (HOPE).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata perkara itu disebabkan proses penawaran pada masa ini akan terus dijalankan secara telus dan terus (real-time) daripada Sistem Maklumat Perumahan (SMP) di bawah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

6ff97588 e50f 4565 8e7f 7a2f0836658bBeliau berkata demikian dalam Sesi Penggulungan Exco, sebagai respons pada Ketua Pembangkang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff.

“Tiada cadangan untuk melantik atau melibatkan mana-mana wakil rakyat daripada barisan kerajaan mahupun pembangkang untuk menyertai Mesyuarat HOPE ini,” jelasnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 19 November 2025.

Sehingga 31 Oktober 2025, Sundarajoo memberitahu bahawa Mesyuarat HOPE telah bersidang sebanyak 16 kali dan sejumlah 5,567 tawaran perumahan telah diberikan kepada rakyat Pulau Pinang.

43f71cb1 c4f5 4614 a276 72f005a9a7d5Dalam isu lain, beliau yang juga ADUN Perai turut memberi respons mengenai status projek terbengkalai iaitu Pangsapuri Quinton dan Pangsapuri Seri Bayu, sebagaimana dibangkitkan oleh ADUN Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

“Walaupun perkara ini adalah merupakan obligasi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, telah mengambil langkah proaktif dengan melantik rakan pembiayaan bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan projek-projek berkenaan supaya kepentingan pembeli terus terpelihara,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau menambah bahawa garis masa baharu bagi kedua-dua projek berkenaan sedang diselaraskan bersama pihak pelikuidasi bagi pihak pemaju, serta rakan pembiayaan yang berkaitan di bawah pemantauan Kerajaan Negeri.

“Sasaran terkini adalah untuk menyiapkan kedua-dua projek berkenaan sepenuhnya dan memperoleh Sijil Penyiapan Kerja (CPC) pada sukuan keempat tahun 2026 atau sukuan pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pelan tindakan pemulihan serta kelancaran pelaksanaan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Muhammad Fauzi semasa membahaskan Belanjawan 2026 Negeri Pulau Pinang antara lain mencadangkan keanggotaan Mesyuarat HOPE ditambah termasuk dalam kalangan wakil rakyat dari blok pembangkang demi memastikan jawatankuasa berkenaan lebih telus.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING