TKM I puji pendekatan proaktif Jabatan Mufti dekati masyarakat

Admin
18e16452 5c29 48f5 bfb8 d07b98bbe288 MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kanan) menyempurnakan acara gimik perasmian Program Irsyad Fatwa Peringkat Negeri Pulau Pinang di Wisma Ansar berhampiran Masjid Al-Muhajirin dekat Seberang Jaya pada 23 Jun 2026.

SEBERANG JAYA – Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang kini mengambil pendekatan lebih proaktif dengan beralih daripada sekadar mengadakan mesyuarat penentuan hukum di pejabat kepada usaha mendekatkan institusi fatwa kepada masyarakat menerusi penganjuran program dialog pada peringkat akar umbi.

9ab6e146 c2e3 442f 982c b8865f5251c0
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, langkah ‘turun padang’ itu amat penting bagi memastikan masyarakat memperoleh penjelasan yang sahih dan tepat berkaitan isu kefatwaan serta panduan hukum syarak di negeri ini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi berkata demikian ketika merasmikan Program Irsyad Fatwa Peringkat Negeri Pulau Pinang di Wisma Al-Ansar, berdekatan Masjid Al-Muhajirin, di sini hari ini.

Menurut beliau, pendekatan tersebut mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap fungsi dan peranan institusi fatwa sekali gus mengelakkan kekeliruan berkaitan sesuatu keputusan hukum yang dikeluarkan.

Pada masa sama, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut menjelaskan punca kuasa institusi fatwa berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004.

ecb29b1e 9b80 4bd4 a5b4 025ab897e6bc
MOHD Sukki Othman

Sementara itu, Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan bahawa perbezaan antara fatwa dan irsyad fatwa yang dikeluarkan di negeri ini.

Tegas beliau, seseorang mufti tidak boleh mengeluarkan fatwa atas kapasiti peribadi atau secara sewenang-wenangnya kerana sesuatu isu yang dibangkitkan perlu terlebih dahulu dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Penjelasan tersebut, katanya, sekali gus menjawab dakwaan berhubung isu pembelian sebidang tanah menggunakan dana ta‘awuf daripada sumber zakat yang kononnya merupakan keputusan peribadi pentadbir negeri dan bukannya hasil muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri.

0ed7271e 1d99 4650 8691 5c3a7ab333da
GAMBAR kenang-kenangan sekalian pemegang taruh dalam kalangan wakil jabatan kerajaan, agensi negeri dan asatizah yang menyertai Program Irsyad Fatwa Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada petang tadi.

Program interaktif itu turut menampilkan Timbalan Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Fadhilah Mohamad Zambri Mohamed Shapek dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri, Prof. Madya Dr. Jasni Sulong sebagai panel forum, manakala Penolong Mufti Kanan Negeri Pulau Pinang, Dr. Mohamad Zaki Abdul Halim bertindak sebagai moderator.

Forum berkenaan membincangkan dinamika proses kefatwaan yang sentiasa berkembang mengikut perubahan masa, tempat dan keadaan semasa sesuatu isu dibangkitkan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MOHAMAD IQBAL HAMDAN