TP1M – Kementerian digesa beri maklum balas segera

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan digesa memberi maklum balas segera berhubung perkembangan permohonan membaiki rumah melalui Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang dikemukakan sebelum ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga kini, sejumlah tiga daripada 119 permohonan telah diluluskan, manakala 40 lagi masih dalam pertimbangan untuk diluluskan dengan 76 (permohonan) masih tergantung.

“Saya amat kecewa dengan kelewatan Kerajaan Persekutuan dalam mempertimbangkan serta meluluskan permohonan TP1M.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah menghantar surat dan memohon penjelasan segera sama ada baki permohonan diluluskan atau tidak,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Sebagai rekod, melalui peruntukan di bawah TP1M, Kerajaan Persekutuan akan membiayai 90 peratus kos penyelenggaraan bagi projek perumahan kos rendah dan projek perumahan kos sederhana rendah (70 peratus), manakala bakinya ditanggung badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk.

Namun, bagi mengurangkan bebanan,Kerajaan Negeri melalui dana Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) membiayai baki kos ditanggung JMB atau persatuan penduduk di bawah TP1M.

Tambah beliau, permohonan TP1M bukan sahaja melibatkan kerja-kerja mengecat semula dan membaik pulih sistem pepaipan, tetapi turut membabitkan situasi kritikal seperti penyelenggaraan lif, pendawaian semula dan membaik pulih bumbung kediaman.

“Sekiranya permohonan ditolak, maka Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk membantu sedayanya membiayai kos penyelenggaraan tersebut,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut memberi contoh Taman Pinang di Jalan Sungai Pinang yang memerlukan dana segera berjumlah RM155,000 untuk membaiki bumbung.

“Disebabkan tiada jawapan daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan permohonan tersebut, Kerajaan Negeri telah membantu membiayai 80 peratus kos membaiki bumbung dan 20 peratus lagi ditanggung penghuni Taman Pinang (nisbah 80:20).

“Bagaimanapun, baru-baru ini, satu senarai cadangan untuk meluluskan 40 permohonan TP1M telah dikeluarkan dan Taman Pinang tersenarai menerima RM251,100 (90 peratus daripada RM279,000) untuk kerja-kerja mengecat semula, membaiki papan siling, sistem retikulasi dan membaiki bumbung, sedangkan Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan kerja-kerja membaiki bumbung tersebut.

“Dalam keadaan ini, kita telah memohon Kerajaan Persekutuan untuk membayar balik kepada Kerajaan Negeri kos membaiki bumbung berjumlah RM139,500 supaya kita (Kerajaan Negeri) boleh membayar balik RM31,000 kepada penghuni Taman Pinang yang turut ‘dipaksa’ bayar 20 peratus kos tersebut,” tegas beliau.

Jelas Jagdeep, kelewatan meluluskan TP1M bukan sahaja menyebabkan penghuni ‘dipaksa’ membayar 20 peratus kos, malah menjadi punca pembaziran wang rakyat.

“Pelaksanaan TP1M perlulah efisien, tidak perlu banyak alasan atau melengahlengahkan permohonan.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan ‘mampu’ bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hasrat penduduk di Pulau Pinang, ia akan menjadi sejarah yang klasik,” katanya.