Pasar Awam Paya Terubong bakal siap setelah 15 tahun

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penduduk sekitar Paya Terubong di sini bersyukur setelah penantian selama 15 tahun bagi memiliki pasar awam sendiri bakal tercapai ekoran pengumuman Kerajaan Negeri baru-baru ini berhubung penyambungan semula projek pembinaannya yang sebelum ini terbengkalai.

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Kerja Raya, Utiliti, Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Guan Eng berkata, Kompleks Pasar Awam Paya Terubong yang dibina di Tingkat Paya Terubong 4 berhampiran projek perumahan Majestic Heights akan menelan belanja kira-kira RM7 juta hingga RM8 juta untuk dibangunkan semula.

“Pembinaan semula projek pasar empat tingkat tersebut akan dimulakan pada awal tahun depan dan dijangka tidak akan mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan.

“Projek ini akan dikendalikan syarikat pembinaan, Patsifit Contsruction Sdn. Bhd. yang mana bakal menempatkan pasar basah, kering, pusat penjaja, dewan komuniti dan tempat letak kereta,’’ jelas beliau.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut membangun dan menghidupkan semula projek perumahan Majestic Heights Fasa 2A yang telah terbengkalai sejak 11 tahun lalu.