Tubuh pasukan tindak isu sungai tercemar – Kon Yeow

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan bertindak khas bagi memantau, merekod dan mengenal pasti punca pencemaran sungai dan pantai di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberi respon demikian berhubung isu pencemaran Sungai Jelutong dek sampah sarap, sebagaimana dilaporkan beberapa media arus perdana baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan Taskforce Pencemaran Sungai dan Pantai,” ujarnya yang juga Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Memetik laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kon Yeow memberitahu, langkah memasang perangkap sampah (Log Boom dan CDS) sedang dipasang di lokasi yang dikenalpasti menerima banyak sampah terkumpul.

“Pemasangan perangkap sampah ini juga disyorkan kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di setiap parit perumahan dan perbandaran kerana sampah-sampah yang diterima adalah asalnya dari parit perbandaran, paritperumahan dan pembuangan terus dari penduduk,” jelasnya.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerjamenyelenggara serta mengeruk Sungai Jelutong dilakukan secara berkala tiap-tiap tahun demi mengurangkan lumpur serta sampah sarap dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, Sungai Jelutong yang menyambung enam cabang sungai lain, iaitu Sungai Dondang, Sungai Air Itam, Sungai Air Putih, Sungai Air Terjun, Sungai Jelutong dan Sungai Mati itu dikelilingi kepadatan penduduk, sekaligus mendedahkan sungai utama tersebut terdedah pada risiko pencemaran.

Memetik data MPPP, beliau memberitahu, sebanyak RM91,028 dibelanjakan sehingga Februari tahun ini sahaja bagi mengutip 2,700 kilogram (kg) sampah dari SungaiJelutong.

Manakala di Sungai Pinang pula, jelasnya , sumber sama mendedahkan sebanyak RM67,992.80 dibelanjakan pada tahun 2012 bagi mengutip 54,903 kg sampah, diikuti, 2013 (RM83,3333 / 3,297,000kg) dan Januari hingga Februari 2014 (RM99,340 / 1,092kg)

Dalam interaksi bersama wartawan, Kon Yeow turut membentangkan pelan tindak jangka pendek dan pelan induk jangka panjang MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) demi menangani isu malar segar itu.