Tukar guna fasiliti milik negeri demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang kala pandemik – Ketua Menteri

KETUA Menteri (kanan) diiringi Sr. Rozali Mohamud (tengah) dan seorang individu lain semasa lawatan ringkas ke Pusat Persampelan COVID-19 ‘tambahan’ peringkat Daerah SPT dekat Kompleks Sukan dan Kolam Renang MBSP, Jalan Betek di sini pada pagi ini.

PADANG LALANG – Mulai pagi ini, Pusat Persampelan COVID-19 ‘tambahan’ peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dibuka dekat Kompleks Sukan dan Kolam Renang MBSP, Jalan Betek demi menangani lambakan pengunjung yang mahu membuat ujian calitan serta memakai atau memotong gelang di Klinik Kesihatan Daerah Berapit sebelum ini.

KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya komited untuk menukar guna fasiliti negeri mengikut keperluan termasuk cadangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) demi memenuhi kesejahteraan rakyat semasa menghadapi pandemik COVID-19.

“Saya bersama-sama Pengarah JKNPP akan meneliti keperluan ini kerana Kerajaan Negeri bersedia memberi segala bantuan untuk memastikan semua kemudahan yang diperlukan sebagaimana disaksikan pada hari ini,” jelasnya semasa melawat Pusat Persempelan COVID-19 ‘tambahan’ di sini pada 6 September 2021.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pihaknya berharap cadangan JKNPP berhubung penyediaan kemudahan ‘tambahan’ berupa Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta kelengkapan-kelengkapan perubatan yang diperlukan di ‘hospital-hospital COVID-19’ di Pulau Pinang supaya segera dipenuhi peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kemudahan-kemudahan ini adalah amat penting di Pulau Pinang memandangkan kes-kes yang meningkat dan menyebabkan kebanyakan kemudahan perubatan menghadapi tekanan untuk memberi perkhidmatan berkaitan… (namun) kita (Pulau Pinang) ada beberapa kekangan.

“Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri) telahpun membuat permintaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya dapat membatu negeri Pulau Pinang daripada segi penempatan tambahan terutama sumber-sumber manusia untuk membantu JKNPP menghadapi peningkatan kes COVID-19.

“Semua (kemudahan) ini perlu mendapat perhatian serta tindakan secepat mungkin supaya kita dapat mengawal keadaan (kesihatan awam) di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

KETUA Menteri (kiri sekali) diiringi Chong Eng (tiga dari kiri) dan Steven Sim Chee Kheong (dua dari kiri) turut mendapatkan maklum balas daripada anggota barisan hadapan bagi sektor perkhidmatan kesihatan awam negeri mengenai cadangan penambahbaikan demi meningkatkan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang semasa pandemik COVID-19.

Difahamkan, Pusat Persempelan COVID-19 ‘tambahan’ di sini akan dibuka selama tiga bulan sehingga Disember 2021, dengan kapasiti pengunjung harian pada saat ini adalah seramai 296 orang.

DR. Suraya Idris

Bercakap pada sidang media sama, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Seberang Perai Tengah (SPT), Dr. Suraya Idris menyatakan bahawa ujian calitan serta pemakaian gelang berkaitan kepada mereka yang merupakan kontak rapat atau sah dijangkiti COVID-19 adalah bermula pada jam 9 pagi hingga 1 petang, sementara sesi potong gelang (4 petang hingga 6 petang).

“Sebagai makluman, sebelum ini Pusat Persempelan COVID-19 kita adalah di Klinik Kesihatan Daerat (SPT) dekat Berapit.

“Tetapi, disebabkan isu yang timbul iaitu kesesakan lalulintas di sana hingga mengganggu (ketenteraman awam) penduduk setempat, kita (Pejabat Kesihatan Daerah SPT) memohon daripada Pejabat Daerah dan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) untuk menggunakan fasiliti di sini,” ulasnya.

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu bahawa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, Kerajaan Negeri telahpun berbelanja kira-kira RM180 juta untuk pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan oleh rakyat teramai termasuk menyediakan kemudahan berkaitan rawatan pesakit COVID-19 mengikut syor JKNPP.

Daripada jumlah itu, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya turut membelanjakan kira-kira RM3.52 juta bagi menganjurkan Program Penang Saring COVID-19 P (PSC-19) secara percuma dengan menyasarkan 40,000 individu daripada 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) menjalani ujian calitan dengan menggunakan kaedah RTK-Ag.

ADUN Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai lawatan ringkas Kon Yeow di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD