Tunda pewartaan ‘Middle Bank’ atas faktor pembangunan strategik

Admin
7b778ee4 214c 4353 b7ce 1c40a78e6508

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menunda cadangan pewartaan kawasan ‘Middle Bank’, iaitu kawasan rumpai laut terbesar bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan strategik yang sedang berjalan berdekatan kawasan tersebut tidak terjejas.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, walaupun Kerajaan Negeri mengakui ‘Middle Bank’ merupakan aset ekologi yang amat penting dan wajar dilindungi, pewartaannya perlu dilakukan secara strategik.

“Kawasan ‘Middle Bank’ merupakan kawasan rumpai laut terbesar di utara dan aset ekologi penting yang wajar dilindungi demi menyokong biodiversiti, perikanan serta berfungsi sebagai penyerap karbon.

“Namun, pewartaannya perlu dilakukan secara strategik kerana beberapa projek Pembangunan besar sedang berjalan seperti pemulihan tapak pelupusan Jelutong, projek IJM, pembinaan platform kerja dan perancangan pelebaran Pelabuhan,” jelasnya dalam sesi ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 19 November 2025.

Jelas Sundarajoo lagi, cadangan pewartaan segera kawasan-kawasan terbabit bukan sahaja berisiko menjejaskan pelaksanaan projek-projek pembangunan strategik, malah boleh menimbulkan implikasi lain dari sudut perundangan.

“Walaupun pembangunan dijalankan di sekitar ‘Middle Bank’, Kerajaan Negeri akan memastikan kawasan teras ekosistem tidak disentuh dan semua projek mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta langkah mitigasi alam sekitar.

“Pada masa ini, pewartaan tidak dapat dilaksanakan kerana faktor pentadbiran, perundangan dan keperluan penyelarasan agensi,” tambahnya lagi.

85ce23e1 4833 47af 9cb5 82ba7eb375c5Terdahulu, isu ini dibangkitkan oleh ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze semasa membahaskan Belanjawan 2026 Pulau Pinang yang mempersoal mengenai iltizam politik Kerajaan Negeri dalam mewartawakan ‘Middle Bank’ sebagai koridor alam semula jadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING