Umum sambut baik cadangan jadikan Sungai Perai sebagai lokasi ekopelancongan

PERAI – Cadangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menjadikan Sungai Perai sebagai kawasan ekopelancongan disambut baik oleh penduduk Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad baru-baru ini menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bakal membina lima buat jeti baru untuk aktiviti berkayak dan ‘river cruise’ di sepanjang Sungai Perai.

Nurul Amira Sabri.

Salah seorang penduduk setempat, NURUL AMIRA SABRI, 29, menyatakan bahawa cadangan tersebut pastinya bakal memberikan impak positif kepada penduduk Seberang Perai khasnya di sekitar Perai.

“Apabila Sungai Perai dibangunkan sebagai lokasi berkayak sudah pasti kawasan ini akan menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam atau luar negeri.

“Keadaan ini sudah pastinya memberikan manfaat kepada penduduk setempat seperti penjaja dan peniaga kecil-kecilan.

“Selain itu, ia juga berpotensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baru yang berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya ketika ditemui pagi tadi.

K. Satieis.

Seorang lagi respondan, K. SATIEIS, 30, berkata hasrat MBSP untuk membangunkan ekopelancongan di pinggir Sungai Perai memberi bakal menimbulkan kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan dan keindahan sungai berkenaan.

“Apabila sungai dijadikan kawasan riadah, sudah pasti masyarakat akan mula mengambil berat tentang keperluan sungai serta tanggungjawab memastikan aspek keindahan dan kebersihan sungai sentiasa terjaga.

“Selain itu, Sungai Perai bakal menjadi ‘landmark’ sebagai tarikan baharu destinasi pelancongan negeri khususnya bagi kawasan Seberang Perai sekiranya cadangan ini berjaya dilaksana kelak,” ujarnya.

Ang Kock Leong.

Turut menyambut baik cadangan tersebut ialah ANG KOCK LEONG, 58, yang merupakan seorang peniaga kecil di sekitar Perai.

“Sebagai seorang peniaga, sudah semestinya saya menyokong semua usaha ke arah meningkatkan populariti negeri Pulau Pinang melalui sektor pelancongan.

“Sekiranya projek ini terlaksana, sudah pasti Sungai Perai akan menjadi tumpuan orang ramai dan keadaan ini memberi impak positif kepada peniaga kecil seperti kami,” katanya yang telah menjalankan perniagaan selama lebih 20 tahun.

Nurul Najwa Othman.

Dalam pada itu, NURUL NAJWA OTHMAN, 29, berkata inisiatif MBSP tersebut wajar disambut baik oleh penduduk Pulau Pinang kerana ia memberi impak postif yang ketara terhadap penjagaan sungai.

“Saya amat menyokong usaha murni ini dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi iaitu Sungai Perai terus terpelihara.

“Jadi saya rasa cadangan ini wajar disokong oleh penduduk di negeri ini terutamanya di kawasan Seberang Perai Tengah,’ ujarnya ringkas.

Florance Silva.

FLORANCE SILVA, 43, pula berkata pembangunan Sungai Perai sebagai kawasan berkaya akan menambahkan satu lagi lokasi pelancongan menarik di Seberang Perai.

“Cadangan ini dilihat selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan lagi produk pelancongan di kawasan Seberang Perai standing dengan bahagian pulau.

“Oleh itu, sebagai penduduk tempatan saya amat mengalu-alukan cadangan ini yang dilihat dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi juga dapat menggalakkan lagi aktiviti beriadah dan bersukan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS