Urusan perpindahan sekolah kurang murid, Kerajaan Negeri sedia bantu Kementerian Pendidikan – KM

Admin

PENAGA – Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu pihak Kementerian Pendidikan untuk memudahkan urusan perpindahan sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah kurang murid di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama penuh termasuk mencari tapak tanah yang bersesuaian untuk penempatan semula sekolah kurang murid.

“Kerajaan Negeri sebenarnya telah mengenal pasti satu tapak di bandar pemajuan baharu di Batu Kawan yang boleh dibangunkan, walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan dan menyemak prosedur sedia ada sekiranya perlu.

“(Hal ini kerana), pemindahan sekolah kebiasaannya dilakukan secara berperingkat (melibatkan banyak proses) kerana pihak Kementerian Pendidikan termasuk Kerajaan Negeri sendiri berdepan cabaran untuk mendapatkan tapak tanah.

“(Dan) di Pulau Pinang bukan hanya satu kes yang melibatkan pemindahan sekolah, tetapi ada beberapa kes lain yang juga memerlukan pertimbangan sewajarnya,” katanya pada sidang media sejurus mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang Yu dekat Kuala Muda di sini pagi ini.

CHOW Kon Yeow (berkaca mata) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang murid SJKC Kuang Yu pada sesi lawatan ke sekolah berkaitan pagi ini.

Menurut Kon Yeow, pada 18 Jun lalu, beliau menerima sepucuk surat daripada Lembaga Pengurusan SJKC Kuang Yu yang menyatakan hasrat untuk memindahkan sekolah terbabit.

“Lembaga Pengurusan Sekolah sudah membuat keputusan untuk memindahkan sekolah terbabit memandangkan bilangan murid menurun (mungkin disebabkan) penghijrahan keluarga bangsa Cina ke kawasan lain.

“Terkini, sekolah ini mempunyai 18 murid yang masih meneruskan pembelajaran di sini termasuk seorang murid Darjah 6, dan pihak sekolah juga tidak pasti berapa ramai murid yang akan mendaftar masuk pada masa hadapan.

“Jadi, saya amat berharap, sama ada Jabatan Pendidikan Negeri ataupun pihak Kementerian (Pendidikan) termasuk Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Sekolah Mubaligh di bawah YB Chong Eng untuk sama-sama membantu serta mencari penyelesaian terbaik untuk memudahkan keperluan perpindahan SJKC Kuang Yu.

“Saya juga tidak pasti sama ada SJKC Kuang Yu akan dipindahkan ke lokasi baharu (kawasan berpotensi ramai murid) atau dibangunkan sebuah sekolah baharu di Batu Kawan,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah.

Difahamkan, pemindahan sesebuah sekolah adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, antaranya persetujuan 100 peratus ibu bapa dan juga kesediaan tapak baharu serta dana pembangunan sekolah.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING