Usahawan kampung mampu jana pendapatan tinggi dan sumbang kepada ekonomi negara – Exco

Admin

TANJUNG BUNGAH – Penekanan kepada pembangunan modal insan yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 mampu merapatkan jurang ekonomi luar bandar, ujar Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“DPLB 2030 tersebut yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan tiga kerangka hala tuju  pembangunan luar bandar.

“Jurang kemiskinan hari ini besar, antara kaya dan yang miskin dan masalah ini dihadapi oleh semua kaum, jadi tugas kerajaan hari ini kena bantu rakyat untuk jadi usahawan dan tingkatkan pendapatan melalui kemahiran ataupun dari segi bantuan peralatan dan sebagainya.

“Melalui bantuan yang kita (Kerajaan Negeri) beri sebelum ini juga, banyak usahawan di kampung-kampung yang telah berjaya… jangan ingat mereka yang duduk kampung tak mampu jana pendapatan tinggi bahkan mereka mampu sumbang kepada ekonomi negara,” ujar beliau ketika berucap di GIATMARA Tanjung Bungah sempena Program Jelajah Desa Daerah Timur Laut (DTL) hari ini.

Turut mengiringi Afif pada jelajah tersebut, Ketua Penolong Pegawai Daerah bagi DTL, Nurshamshinaz Shamsuddin dan Pengarah GIATMARA Bukit Bendera, Mohamad Fakarudin Md. Farok.

Program jelajah kali ini mendapat kerjasama baik di antara agensi pusat dan negeri setelah peralihan kuasa  di peringkat Persekutuan tahun lalu.

Berucap pada program yang sama, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika singgah di lokasi terakhir dekat Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini  menggesa komuniti setempat agar cakna akan keperluan masyarakat sekeliling yang memerlukan bantuan.

“Kalau kita tahu ada jiran yang mungkin anaknya keciciran dalam pelajaran, boleh syorkan kepada beliau untuk masuk kursus kemahiran di GIATMARA, masyarakat sekarang perlu lebih proaktif dalam isu sebegini.

“Saya rasa pihak masjid juga boleh kerjasama dengan GIATMARA untuk anak-anak kariah dapatkan kursus di sana,” cadang beliau.

Pada sesi Jelajah Desa DTL yang juga merupakan program pertama untuk tahun 2019, Afif meluangkan masa di tujuh lokasi terpilih yang menerima bantuan Kerajaan Negeri serta pusat-pusat seliaan KPLB.

Jelajah pertama dimulakan di GIATMARA Tanjung Bungah diikuti Maahad Tahfiz Al-Quran Kasyfu al-Ulum, premis pastri dan kek Kampung Melayu (usahawan GIATMARA) dan lawatan ke Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Jelutong yang menyediakan tadika dan kelas jahitan.

Seterusnya jelajah singgah ke kafe Semanis Honey Bakery yang menerima bantuan dari Kerajaan Negeri, GIATMARA Bukit Gelugor (kursus fotografi) sebelum ke Masjid Jamek Sungai Gelugor yang turut menyediakan kenduri rakyat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN