Usul tubuh jawatankuasa khas, tambah tadbir urus negeri dan Persekutuan dipersetujui DUN Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengemukakan usul untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan bagi menambah baik tadbir urus, perhubungan negeri dan Persekutuan supaya lebih cekap, bertanggungjawab, adil serta saksama.

Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, usul tersebut adalah mengikut Peraturan 102 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menyiasat dan melaporkan semua perkara berkaitan atur kerja operasi serta pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan ini adalah perjuangan Kerajaan Negeri untuk mendapat kuasa-kuasa dalam bidang pengangkutan awam; kebajikan sosial; alam sekitar serta peruntukan yang lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ketidaktentuan politik beberapa tahun kebelakangan ini dan cabaran pasca pandemik COVID-19 telah menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat serta memperlihatkan betapa pentingnya keperluan penurunan kuasa dan penstrukturan semula kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Jawatankuasa khas ini akan mengenal pasti permasalahan spesifik dalam hubungan (antara Kerajaan) Persekutuan dan Negeri termasuk pengagihan sumber yang lebih adil.

“Matlamat utama adalah untuk meningkatkan sistem Persekutuan Malaysia dengan mengiktiraf kepentingan dan keperluan bagi pemerkasaan kuasa Kerajaan Negeri serta meningkatkan hubungan (baik) antara (Kerajaan) Persekutuan dan Negeri,” ujarnya ketika membentang usul berkaitan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 24 November 2022.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa khas tersebut, tambah Kon Yeow antara lain adalah untuk menggalakkan penyelarasan, perundingan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memastikan tadbir urus yang berkesan serta demokratik untuk rakyat Pulau Pinang.

“Sebelum usul ini dibentangkan, satu jawatankuasa kecil telah ditubuhkan dengan kerjasama Penang Institute bagi meneliti usaha ini,” katanya.

Difahamkan, usul tersebut turut mencadangkan senarai Ahli Jawatankuasa yang mana Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai dilantik sebagai Pengerusi.

ADUN Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusof Mohd. Noor; Gooi Hsiao-Leung (ADUN Bukit Tengah); M. Satees (ADUN Bagan Dalam); Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk); Muhammad Faiz Fadzil (ADUN Permatang Pasir), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (ADUN Bertam); Mohd. Yusni Mat Piah (ADUN Penaga); ADUN Komtar, Teh Lai Heng dilantik sebagai ahli jawatankuasa tersebut.

(Dari atas, kiri); GOOI Hsiao-Leung; M. Satees; Daniel Gooi Zi Sen dan Teh Lai Heng semasa sesi perbahasan usul.

Usai usul dibacakan, selain Hsiao-Leung, M. Satees dan Lai Heng turut mengambil bahagian membahaskan usul tersebut ialah ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen yang kemudiannya dipersetujui serta diterima oleh Dewan Undangan Negeri.

Terdahulu, usul tersebut dipersetujui oleh Yang Dipertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang dan disokong untuk dibahaskan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING