Wan Muhammad Akmal Hafiz, Cahaya Iman johan pertandingan Pidato Penang2030

Admin
img 20250908 wa0045

GEORGE TOWN – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim, Wan Muhammad Akmal Hafiz Wan Azhar dan Cahaya Iman Cik Mohd. Rafizi dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahaz Al-Mashoor Al Islami dinobatkan sebagai johan pertandingan Pidato Penang2030 masing-masing bagi Kategori Belia dan Remaja.

Kejayaan tersebut telah melayakkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Pidato Penang2030 yang berlangsung dekat Auditorium A, Komtar di sini sebentar tadi.

img 20250908 wa0040img 20250908 wa0047img 20250908 wa0037img 20250908 wa0039img 20250908 wa0035img 20250908 wa0044img 20250908 wa0038

Semasa berucap, Kon Yeow menyatakan rasa bangga kerana dapat menyaksikan keberanian dan kematangan semua peserta dalam menyampaikan hujah dan gagasan masing-masing menerusi pertandingan berkaitan.

“Ia mencerminkan semangat intelektual dan kepedualian sosial yang amat diperlukan untuk membentuk masa depan negara yang lebih verah.

“Menang atau kalah bukanlah penentu akhir kerana hakikatnya, semua peserta telah menang kerana berjaya mengangkat suara, mengemukakan pandangan serta menzahirkan impian untuk negeri dan negara.

“Jadikan pengalaman ini sebagai titik permulaan untuk terus menyerlah dalam bidang kepimpinan, komunikasi dan pemikiran kritis,” katanya sambil menyeru agar pertandingan sedemikian diteruskan serta diperluas kepada lebih ramai pelajar.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah serta Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri, Mohamad Said Ibrahim.

Menurut Kon Yeow, pertandingan pidato memainkan peranan penting dalam membentuk individu berpengetahuan, beretika serta berwawasan demi masa depan negara selaras dengan Visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia Madani.

“Dengan penyertaan 33 pelajar Kategori Remaja dan 53 pelajar Kategori Belia, ini membuktikan bahawa minat terhadap pengucapan awam bukan sahaja masih hidup, tetapi terus berkembang dengan lebih segar dan matang.

“Pidato bukan sekadar seni bicara tetapi ia adalah seni memimpin, seni berfikir dan seni mempengaruhi ke arah perubahan yang positif.

“Begitu juga tema pertandingan pidato ini iaitu “Penang2030: Memperkasa Generasi Muda, Membina Masa Depan Pulau Pinang” bukan hanya slogan, tetapi satu seruan tanggungjawab kepada semua.

“Ia mengingatkan kita bahawa hanya dengan memperkasakan golongan muda dalam segala aspek termasuk ilmu, nilai dan kepimpinan, barulah negeri ini mampu terus mara ke hadapan sebagai negeri contoh dalam Malaysia Madani,” ujarnya.

Senarai penuh pemenang bagi Kategori Belia adalah seperti berikut:
Johan – Wan Muhammad Akmal Hafiz Wan Azhar (SMKA Syeikh Abdullah Fahim)
Naib Johan – Muhammad Ba’s Saifullah Mohamad Ariff (SMK Sungai Acheh)
Ketiga – Alyaa Nuur Iman Idris (SMA Al-Itqan)
Keempat – Muhamad Nurhakim Khairul (SMA Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah)
Kelima – Fatimah Nur Qaleasya Ahmad Fuad (SMKA Al-Irsyad)

Senarai penuh pemenang bagi Kategori Remaja adalah seperti berikut:

Johan – Cahaya Iman Cik Mohd. Rafizi (SMA Maahaz Al-Mashoor Al Islami)
Naib Johan – Izz Nur Ayesya Mohd. Husni (SMK Kampung Selamat)
Ketiga – Nur Azra Batriesyia Mohd. Razizi (SMK Teluk Kumbar)
Keempat – Muhammad Amir Irfan Muhammad Syukur (SMK Sama Gagah)
Kelima – Amni Hamizah Muhamad Hadza (SMKA Al-Irsyad)

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD