Warga emas dihargai, janji sumbangan anak emas dikotai

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & ZULIANA AZIZ

TIMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (kiri sekali) mendukung seorang anak emas sambil diperhatikan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy (depan, tengah) pada majlis penyampaian sumbangan peringkat Daerah Seberang Perai Tengah.
TIMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (kiri sekali) mendukung seorang anak emas sambil
diperhatikan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy (depan, tengah) pada majlis penyampaian sumbangan peringkat Daerah Seberang Perai Tengah.

GEORGE TOWN – Janji dikotai. Buat tahun ketiga, wang penghargaan RM100 bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga emas melalui Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) telah dijalankan secara serentak di kelima-lima daerah di sini baru-baru ini.

Malah, seminggu selepas itu, sumbangan RM200 kepada bayi yang dilahirkan pada 1 Januari 2011 ke atas juga telah disempurnakan melalui Program Penghargaan Anak Emas.

Lazimnya, upacara tersebut merupakan simbolik sumbangan daripada dividen anti-rasuah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sepanjang empat tahun memerintah negeri dengan bersih, beramanah, cekap dan berintegriti. Malah, sumbangan juga diberikan tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun fahaman politik.

Penyampaian tahun ketiga PPWE adalah membabitkan seramai 128,437 warga emas iaitu Daerah Barat Daya mencatat 11,749; Daerah Timur Laut (57,748); Seberang Perai Tengah (24,220); Seberang Perai Selatan (10,021) dan Seberang Perai Utara (24,699).

ANAK emas di majlis penyampaian peringkat daerah Timur Laut.
ANAK emas di majlis penyampaian peringkat daerah Timur Laut.

Manakala bagi Program Penghargaan Anak Emas fasa ketiga, ia membabitkan seramai 2,644 bayi. Pecahannya adalah 452 bayi dari Daerah Barat Daya, Daerah Timur Laut (698), Seberang Perai Utara (648), Seberang Perai Selatan (299) dan Seberang Perai Tengah (547).

Seorang warga emas yang menerima wang sumbangan di Maybank Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, Zainad Mat Noor, 74, berasa amat bersyukur dengan sumbangan yang diterima beliau.

“Saya bersyukur dengan Kerajaan Negeri yang prihatin. Kali ini dah tahun kedua makcik terima sumbangan. Bukan orang nak beri duit senang-senang. Bila bagi kena la terima,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Asma Musi, 63, ketika ditemui di Maybank Cawangan Bagan Luar, Seberang Perai Utara di sini turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan negeri yang memberi sumbangan khas kepada warga emas sepertinya.

“Terima kasihlah sebab Guan Eng (Ketua Menteri) beri RM100. Walaupun tak banyak, duit ini bermakna bagi saya,’’ ujarnya yang turut menerima sumbangan sama pada tahun lalu.

Sementara itu, bagi menyempurnakan sendiri sumbangan kepada anak-anak emas Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng telah mengambil insiatif khas untuk hadir pada setiap majlis penyampaian yang dijalankan dalam tempoh dua hari secara berturut-turut.

Katanya, sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat dan berkonsepkan negeri berkebajikan, sumbangan
RM200 yang diberikan sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan bayi untuk membesar di samping meringankan beban ibu bapa dalam penyediaan keperluan bayi mereka.

“Sumbangan ini merupakan satu sumbangan kepada generasi baru yang bakal menjadi pemimpin dan pelapis pada masa akan datang.

“Atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri yang berpegang kepada prinsip perbelanjaan berhemah,
berjimat cermat dan urus tadbir yang cemerlang (Cekap, Akauntabel, Telus), kita akan lebih proaktif dalam melaksanakan program-program dan bantuan kebajikan demi menjamin keharmonian hidup rakyat Pulau Pinang terus dipelihara,” ujar beliau.