GEORGE TOWN – Hampir 160 kilogram sampah berjaya dikutip hasil usaha lebih 100 sukarelawan yang menyertai program pembersihan di tiga lokasi utama iaitu Padang Kota Lama, Batu Ferringhi dan Bukit Bendera, bersempena World Cleanup Day 2025 (WCD2025) yang disambut di seluruh dunia pada 20 September lalu.
Bertemakan ‘Clean Cities, Clean Nation’, program pembersihan ini merupakan inisiatif Yayasan Modal Insan Harta (YMIH) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selain mendapat sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Pengerusi YMHI, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, penganjuran program itu membuktikan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menjaga kebersihan bandar dan kawasan semula jadi.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menguruskan sisa dengan betul dan lebih lestari.
“Kami percaya perubahan besar bermula dengan tindakan kecil, dan inisiatif ini mampu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk turut serta menjaga alam sekitar.
“Malah, inisiatif ini turut menyokong matlamat nasional bukan sahaja dalam penjagaan alam sekitar tetapi juga tanggungjawab bersama antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam mengekalkan bandar yang bersih dan selesa didiami,” katanya melalui kenyataan media bertarikh 20 September 2025.

Sementara itu, Naib Pengerusi MAH Pulau Pinang, Datuk Gulab Mahatam Rai memberitahu bahawa penglibatan industri perhotelan dalam aktiviti sedemikian adalah penting bagi memastikan kelestarian sektor pelancongan.
“Pantai dan alam semula jadi adalah aset utama Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan maka tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, tetapi memerlukan sokongan semua pihak termasuk pemain industri,” jelasnya.

Di Padang Kota Lama, sukarelawan daripada YMIH; Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia yang diketuai Datuk Khoo Boo Leong; Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang; kakitangan Hotel Lone Pine; MBPP dan sekumpulan sukarelawan lain membersihkan kawasan tumpuan awam di sekitar Padang Kota Lama sehingga ke Lebuh Bishop, Jalan Green Hall, Lebuh Pitt, Love Lane, Lebuh Union serta Lebuh Chulia dengan jumlah kutipan sampah di kesemua lokasi tersebut adalah sebanyak 35 kilogram (kg).

Di Batu Ferringhi pula, MAH Pulau Pinang bersama-sama YMIH menumpukan usaha di kawasan pesisir pantai dan berjaya mengutip hampir 99 kg sampah.
Sementara itu, seramai 17 pendaki alam sekitar dari Penang Hikers Group membersihkan laluan trek dan kawasan sekitar Bukit Bendera berdekatan ‘Moon Gate’ dengan jumlah kutipan sampah mencecah 25 kg.

World Cleanup Day adalah gerakan pemerkasaan sosial global yang bertujuan menangani isu pencemaran sisa pepejal di samping meningkatkan kesedaran umum mengenai amalan hidup mampan.
Disambut setiap tahun pada 20 September, usaha ini digerakkan oleh organisasi antarabangsa dikenali sebagai Let’s Do It! World yang berpangkalan di Tallinn, Estonia dengan penyertaan sukarelawan dari lebih 150 negara.
Gambar : PENGANJUR WCD2025