GEORGE TOWN — Pejabat Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menerusi Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan kerjasama Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol secara rasmi melancarkan Pertandingan Keusahawanan Belia (YEC) Tahun 2026/2027.
Penganjuran program yang memasuki edisi ketujuh itu menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM17,600, termasuk tiga anugerah pembentang terbaik, bertujuan memupuk budaya keusahawanan serta melahirkan generasi muda yang inovatif.

Mengulas lanjut, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, YEC edisi kali ini menampilkan kelainan dengan memperkenalkan kategori baharu bagi meluas dan melengkapkan ekosistem bakat keusahawanan negeri.
“Pembangunan keusahawanan belia merupakan aspek penting dalam membina ekonomi masa depan, (maka) kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah berani mencipta peluang, membangunkan perniagaan dan menghasilkan idea inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Pertandingan ini bukan sekadar platform merebut hadiah tetapi peluang mengasah kreativiti, membina keyakinan diri dan mendapatkan pendedahan awal kepada dunia perniagaan,” katanya ketika merasmikan pelancaran program tersebut di Komtar pada 26 Oktober 2026.


Sementara itu, Pengurus Besar PYDC, Edry Faizal Eddy Yusof menjelaskan bahawa YEC 2026/2027 mempertandingkan dua kategori utama iaitu Beginner dan Advance.
Bagi ‘Beginner’ (Sekolah Menengah), beliau berkata kategori tersebut terbuka kepada pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 di Pulau Pinang berumur 15 hingga 17 tahun, secara berpasukan (2 hingga 5 orang) dengan surat sokongan sekolah dan hadiah terkumpul ditawarkan ialah RM2,800.
Sementara bagi kategori Advance (Usahawan Muda) pula, beliau berkata kategori baharu itu khusus untuk belia berusia 15 hingga 35 tahun yang mempunyai perniagaan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan beroperasi kurang daripada dua tahun beralamat di Pulau Pinang.
Menurutnya lagi, pendaftaran pertandingan kini dibuka sehingga 31 Januari 2027 bagi memberikan ruang persediaan secukupnya kepada peserta terutamanya pelajar yang berdepan dengan tempoh peperiksaan.
“Fasa saringan projek dan pengumuman finalis bakal diadakan pada Februari 2027, diikuti dengan siri bengkel bimbingan serta sesi mentorship pada Mac 2027, sebelum kemuncak peringkat akhir dan majlis penutupan yang dijadualkan pada April 2027.
Difahamkan, program ini turut mendapat sokongan padu pelbagai rakan kolaborasi dan strategik termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penaja lokasi, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Sektor Usahawan Muda Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC YES), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Wilayah Utara, Pearl Tubers, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (PERDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pulau Pinang, Jabatan Pertanian, SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Cradle Fund dan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang.
Belia yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi imbasan kod QR pada poster rasmi YEC atau menghubungi PYDC di talian 012-401 0186 / 011-1144 5866 untuk maklumat lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING