Zakat pemangkin sosioekonomi, bina kemandirian ekonomi – TKM I

img 7344

 

SEBERANG JAYA – Instrumen zakat perlu terus diperkasakan sebagai pemangkin sosioekonomi umat Islam, memenuhi bantuan asas golongan asnaf, malah membuka ruang kepada usaha meningkatkan taraf kehidupan dan membina kemandirian ekonomi.

img 7343

Jelas Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, usaha tersebut memerlukan pendekatan yang lebih strategik menerusi perkongsian kepakaran, pengalaman serta amalan terbaik daripada institusi zakat dan pemain industri kewangan sosial Islam.

“Justeru, Konvensyen Ekonomi Umat Islam Pulau Pinang 2026 (KEUIPP’26) bertemakan ‘Transformasi Asnaf Melalui Zakat’ merupakan platform penting untuk menghimpunkan ilmuwan, pemimpin institusi zakat dan pakar ekonomi bagi membincangkan potensi instrumen zakat dalam memperkukuh pembangunan ekonomi ummah.

“Konvensyen ini memberi ruang kepada kita untuk meneliti pendekatan terbaik dalam memanfaatkan instrumen zakat bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi umat Islam, khususnya di Pulau Pinang.

img 7323 img 7331

“Kita turut menghimpunkan rakan strategik serta ilmuwan daripada institusi zakat negeri lain supaya pengalaman dan kepakaran mereka dapat dikongsi serta disesuaikan dengan keperluan masyarakat setempat,”ujarnya ketika ditemui pada konvensyen berkenaan di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Mohamad Khairi Ghazali.

Beliau berharap konvensyen berkenaan dapat menghasilkan satu deklarasi yang boleh dijadikan panduan bagi memperkukuh pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI 2030), khususnya teras pembangunan sosioekonomi.

“Selain zakat, instrumen wakaf dan sumbangan Kerajaan Negeri juga memainkan peranan dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam.

“Justeru, perbincangan seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada wakaf, jariah dan instrumen kewangan sosial Islam yang lain,” jelasnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Konvensyen anjuran Zakat MAINPP itu turut menghimpunkan tokoh akademik dan pakar dari dalam serta luar negara, termasuk Senator Dato’ Seri Profesor Dr. Noor Inayah Ya’akub dan Profesor Dr. Irfan Syauqi Beik dari Indonesia.

Penganjuran KEUIPP’26 difahamkan menarik penyertaan kira-kira 500 peserta, namun berjaya menarik kehadiran lebih 700 orang, sekali gus melepasi sasaran awal penganjur.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memaklumkan bahawa pada tahun 2025, kutipan zakat di Pulau Pinang meningkat kira-kira 17 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala jumlah agihan mencapai RM200.11 juta, meningkat sekitar 23 peratus berbanding 2024.

“Agihan tersebut memberi manfaat kepada 45,831 asnaf merangkumi individu dan institusi.

“Sementara itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober 2026, Zakat MAINPP merekodkan kutipan sebanyak RM137.84 juta, manakala agihan berjumlah RM163.67 juta melibatkan 38,698 penerima.

“Daripada jumlah keseluruhan agihan tersebut, sebanyak RM19.18 juta disalurkan kepada 7,593 asnaf fakir, manakala RM34.20 juta lagi diagihkan kepada 17,904 asnaf miskin,” katanya.

Secara keseluruhan agihan kepada kedua-dua kategori berkenaan mencecah RM53.38 juta, memberi manfaat kepada 25,497 penerima dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.