ZPP berjaya agih 96.8 peratus hasil zakat tahun 2020

GEORGE TOWN – Sungguhpun ekonomi rakyat Malaysia di Pulau Pinang kian mencabar dek pandemik COVID-19, umat Islam serta semua pihak berkepentingan yang menyalurkan zakat menerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) wajar dipuji.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Menerusi kenyataan bertulis Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa daripada RM130.9 juta (RM130,857,624.07) yang berjaya dipungut sepanjang tahun 2020, yang mana menyamai 7.6 peratus peningkatan (RM116,364,840.21) berbanding tahun 2019 (RM125,297,037.26).

Hasil kutipan zakat fitrah bagi tahun 2020 pula, beliau berkata ZPP berjaya memungut sebanyak RM5,560,586.81 berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM5,066,361.

Difahamkan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti membentangkan Laporan Prestasi Kutipan Agihan ZPP tersebut, selepas mengadakan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) agensi negeri pada petang semalam.

Menurutnya lagi, pada tahun 2020 menyaksikan bilangan pembayar zakat harta adalah seramai 70,677 orang berbanding pada tahun 2019 seramai 67,149 orang.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan seramai 3,528 orang atau sebanyak 5.25 peratus,” jelasnya lagi yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memuji para pembayar zakat menerusi potongan gaji bulanan atau Skim Sakinah.

“Prestasi kutipan zakat Skim Sakinah pada tahun 2020 adalah sebanyak RM58.2 juta berbanding pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM52.4 juta.

“Kadar peningkatan sebanyak RM5.7 juta atau 11 peratus,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Menyentuh soal agihan zakat kepada asnaf pula, beliau memberitahu bahawa sepanjang tahun 2020 menyaksikan ZPP berjaya mengagihkan sebanyak RM126.5 juta berbanding tahun 2019 (RM112.4 juta), dengan kadar peningkatan sebanyak 12.5 peratus.

“ZPP telah berjaya mengagihkan sebanyak 96.8 peratus daripada jumlah kutipan zakat pada tahun 2020 berbanding sekitar 91 peratus pada tahun 2019,” ujarnya.

Berdasarkan laporan prestasi yang disediakan ZPP, seramai 41,690 orang menerima zakat bagi tempoh sepanjang tahun 2020 berbanding tahun 2019 (31,821 orang) dengan kadar peningkatan seramai 9,869 orang atau sebanyak 31 peratus.

Agihan, menurut laporan sama, termasuklah kepada 27,532 orang penerima zakat dengan peruntukan sebanyak RM15.9 juta, yang dilaksanakan oleh ZPP menerusi pakej bantuan khas bagi tempoh 22 Mac hingga 31 Disember 2020, iaitu ketika umat Islam di negara ini mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi melandaikan perebakan virus COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB