3T kunci modal insan cemerlang & kreatif – KM

Oleh : AINU L WARDAH SOHILLI

BATU FERRINGHI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng percaya pendekatan konsep 3T iaitu Talent (Bakat), Technology (Teknologi) dan Tolerance(Toleransi) mampu menjadi  penggerak ke arah negara maju dan berdaya saing.

“Pada hemat saya, pelaksanaan pendekatan konsep 3T ini, ia mampu meningkatkan keupayaan sesebuah masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam mengekalkan modal insan cemerlang dalam kelompok yang kreatif dan berdaya maju.

“Kita sedar modal insan yang mempunyai kebolehan 3T berkeupayaan untuk bersaing di peringkat global dan hanya boleh dilahirkan melalui keterbukaan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan telus.

“Malah, pemacu utama di sebalik strategi ekonomi berkesan dan berdaya tahan juga bergantung kepada modal insan yang berkemahiran dan kreatif,” ucapnya ketikamerasmikan Persidangan Pengilang Kaca ASEAN ke-38 dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi ASEAN Federation of Glass Manufacturer (AFGM), Henry T. Susanto dan Pengerusi Persidangan, Chai Kung Fee.

Persidangan selama lima hari itu berjaya mengumpulkan 264 anggota delegasi dari 23 buah negara termasuk China, Columbia, Republik Czech, Jerman, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India, Itali, Jepun, Switzerland, Belanda, Perancis, Taiwan dan beberapa negara anggota ASEAN (Association of Southeast Asian Nations).

Bertemakan ‘Go Green with Glass’, persidangan berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam industri pembuatan kaca untuk menggalakkan penerapan konsep hijau.

Tambah Guan Eng, bakat, teknologi dan toleransi pemikiran adalah penting dalam mana-mana industri yang sedang membangun.

“Begitu juga, teori penumpuan terhadap pembangunan dan pertumbuhan industri juga dilihat sebagai suatu pengukuhan yang menggalakkan rangkaian serta saling kebergantungan dalam sesuatu aliran industri yang mampu memenuhi minat pelabur,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Susanto memberitahu, sebagai usaha pengilang kaca mempromosikan kaca yang mesra pengguna dan alam sekitar, pengilang
negara anggota AFGM mengintergrasikan bahanbahan kitar semula dalam penghasilan kaca.

“Seperti yang kita semua sedar bahawa persidangan tahunan ini bukan sahaja meningkatkan kecenderungan pelaburan, tetapi juga ‘gerakan’ di luar pasaran tempatan yang kini kian berkembang pesat.

“Tambahan pula, permintaan terhadap produk pembuatan yang mesra pengguna dan alam sekitar telah membuahkan peluang baharu,” ujar beliau.

Bagi Kung Fee, beliau percaya bahawa usaha berterusan sejak 37 tahun lalu kini membuahkan hasil dengan penglibatan bukan sahaja dalam
negara anggota ASEAN, tetapi juga negaranegara lain seantero dunia.