Surau taraf 5 bintang dalam risalah pelancongan – Exco Agama

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa penilai untuk memberi penarafan kepada 150 surau awam berwajib di negeri ini.

Menurut beliau, surau awam yang diberi penarafan cemerlang dengan lima bintang akan diberi keistimewaan, antaranya, dimuat cetak serta dipamerkan dalam risalah pelancongan terbitan negeri kelak.

“Surau-surau yang menepati piawaian tertinggi akan diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak bertanggungjawab terhadap surau berkenaan.

“Surau-surau itu akan disenaraikan dalam risalah Kerajaan Negeri, termasuk risalah pelancongan,” ujarnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Abdul Malik menjelaskan, proses penilaian dalam tempoh 10 hingga 26 September lepas bagaimanapun tidak termasuk surau kariah masjid yang diwujudkan di taman perumahan dan kampung.

Justeru, katanya, enam pasukan penilai daripada enam pentadbiran agama telahpun ditubuhkan untuk melaksanakan program penarafan surau di negeri ini.

“Kesemua pasukan penilai tersebut dianggotai wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan panel bebas.

“Kesemua surau dinilai berdasarkan tiga komponen utama, iaitu, 50 peratus dari segi kemudahan fasiliti, kebersihan dan keceriaan (40 peratus), penilaian dari segi pengurusan (10 peratus),” ujar Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Difahamkan, penarafan lima bintang diberikan kepada surau yang mempunyai markah antara 90 peratus hingga 100 peratus, diikuti empat bintang (80 peratus hingga 89.9 peratus), tiga bintang (70 peratus hingga 79.9 peratus), dua bintang (60 peratus hingga 69.9 peratus), satu bintang (50 peratus hingga 59.9 peratus) dan tanpa bintang (markah di bawah 49 peratus).