ADUN puji tindakan pantas JPN selesai aduan runtuhan siling sekolah

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memuji Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang kerana pantas bertindak susulan aduan berhubung kejadian siling runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Itam bertarikh 18 Mei lalu.

Katanya, melalui Guru Besar SK Air Itam, pihaknya difahamkan JPN sudah menghantar kontraktor bagi menilai kos pembaikan diperlukan untuk membaiki siling dan lantai yang rosak akibat dimakan anai-anai.

“Ini merupakan kali pertama kita (Pakatan Harapan) dapat memasuki sekolah, dan pengalaman pertama saya juga selaku ADUN di sini.

“Saya nampak satu perubahan yang positif apabila JPN dapat bertindak pantas seperti ini sejurus Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan baru-baru ini,” ujarnya ketika meluangkan masa melawat lokasi runtuhan siling di salah satu bangunan SK Air Itam yang dibina sejak 1881.

Hadir sama, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Air Itam, Azhar Hanapi dan Guru Besar, Salizawati Omar.

Menurut Soon Siang, beliau akan mengikuti perkembangan lanjut permasalahan tersebut dan bakal mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Difahamkan, blok tersebut merupakan penempatan bagi pelajar pendidikan khas yang kini dipindahkan ke blok lain.

Sebagai tambahan, pihak JPN juga telah memperuntukkan RM50,000 sebagai dana bagi membaiki kerosakan blok berkaitan.