Exco gesa projek RTB Lembangan Sungai Pinang disegerakan

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari mahu Kerajaan Persekutuan menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang demi kesejahteraan 150,000 penduduk di kawasan sekitar.

Menurutnya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, Kerajaan Negeri telah beberapa kali membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan terdahulu agar projek berkenaan disempurnakan kerana Sungai Pinang merupakan salah satu punca utama berlakunya kejadian banjir kilat di bahagian pulau.

“Majlis Mesyuarat Exco pada 23 Mei lalu memutuskan supaya saya membuat satu permohonan melalui surat bertulis kepada Kerajaan Persekutuan baru agar memberi keutamaan kepada projek ini.

“Sebenarnya, projek ini sudah lama dirancang iaitu sejak 1990-an lagi, namun tergendala setelah Fasa 1 disiapkan pada tahun 1999 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), dan sejak itu tiada lagi perkembangan baru mengenainya,” ujarnya pada sidang media di Masjid Acheh Kebun Lama di sini 1 Jun lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Te m p a t a n , P e r u m a h a n d a n Perancangan Bandar & Desa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Mohd. Azmin Hussain dan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( A D U N ) Ta n j o n g B u n g a menjelaskan, selepas lawatan mantan Perdana Menteri ke Pulau Pinang pada akhir tahun lepas, projek berkenaan telah ditender dan dibentangkan kepada jawatankuasa perolehan tander di peringkat Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar pada 23 Februari lalu.

“Pada November tahun lepas, Kerajaan Persekutuan setuju memperuntukkan RM150 juta bagi projek ini yang merangkumi RM25 juta untuk kerja pendalaman sungai dan RM125 juta untuk kerja mitigasi banjir sepanjang 3.2 kilometer di Sungai Pinang serta cawangancawangannya.

“Tender telahpun dianugerahkan dan kontraktor juga sudah dipilih, tapi selepas itu tiada apa-apa perkembangan sehingga kini.

“Rakyat Pulau Pinang khususnya di DUN (Dewan Undangan Negeri) Datuk Keramat sudah menunggu sekian lama, maka kita berharap agar akan ada maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan,” katanya sambil menambah projek tersebut mampu mengurangkan banjir sebanyak 70 peratus setelah disiapkan kelak.

Sementara itu, Jagdeep pula menggesa agar satu barrage (bendungan) dibina di muara Sungai Pinang selain kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai seperti mana yang dicadangkan sejak sekian lama.

“Ini kerana, kita melihat bahawa ada kalanya walaupun hanya berlaku hujan renyai tetapi apabila paras air laut tinggi menyebabkan air masuk ke pulau.

“Dengan adanya barrage ini, jika paras air laut diramal tinggi maka kita boleh tutup muara dan ini akan menghalang air pasang ini untuk masuk ke pulau,” jelasnya.