Bangunkan pembangunan pelancongan menyeluruh, nekad Soon Hi

Admin

MASIH terkejut, itulah reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, sejurus dilantik menggalas tugas sebagai Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian. Beliau diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu setelah tiga penggal mengungguli ADUN Paya Terubong sejak 2008.

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI baru-baru-ini sempat menemu bual individu yang pernah menjadi peguam sebelum terjun ke kancah politik, dan kini dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Permulaan

Mengakui rasa kagum dengan dua insan hebat dalam arena politik iaitu Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh, beliau mengakui bahawa semangat perjuangan mereka yang membuat beliau menceburi politik.

“Kedua-dua individu tersebut amat saya kagumi dengan semangat dan prinsip mereka menegakkan keadilan lebih 50 tahun. “Menerusi mereka, ia membuatkan saya percaya bahawa prinsip amatlah penting dalam menentukan jalan hidup dan terus bersemangat ‘lawan’ walaupun berdekad lamanya,’’ tegasnya.

Visi Pelancongan dan Warisan

Sebagai Exco baharu bagi pembangunan pelancongan, Soon Hin meletakkan visi melaksanakan program pelancongan mapan Pulau Pinang dengan mengadakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Antara fokus pelancongan mampan yang dimaksudkan termasuk pelancongan berasaskan alam semula jadi, ekopelancongan dan pelancongan kebudayaan.

“Platform media sosial akan digunakan sepenuhnya dalam menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk bertandang ke Pulau Pinang.

“Saya amat tertarik dengan negara Jepun sepanjang melawat negara luar terutamanya dalam aspek kebersihan dan pengangkutan awam.

“Justeru, saya berharap Pulau Pinang dapat bergerak maju seiring Jepun dalam isu kebersihan dan pengangkutan yang secara tidak langsung boleh menggamit pelancong ke negeri ini,” katanya. Soon Hin dalam pada itu turut menyuarakan hasrat membangunkan sektor pelancongan di kawasan Seberang Perai berkonsepkan ‘homestay’ atau rumah inap.

“Seberang Perai sebenarnya banyak produk pelancongan seperti homestay yang membawa kita lebih dekat dengan suasana kampung berbanding tinggal di hotel.

“Setakat ini, difahamkan 11 homestay berdaftar di negeri ini dan buat masa ini pertandingan antara homestay yang diadakan boleh merancakkan lagi pengetahuan orang ramai tentang produk tersebut.

“Selain itu, Bukit Mertajam turut memiliki Gereja St. Anne yang secara tahunan akan menganjurkan festivalnya sendiri. Penganjuran tersebut menarik minat orang ramai mendekati seni binanya, sejarah dan kawasan persekitarannya.

“Pengamatan saya juga membayangkan untuk menganjurkan festival padi di Seberang Perai.Saya percaya ramai generasi muda hari ini tak pernah ada pengalaman berjalan di bendang ketika musim menuai, dari situ mereka akan merasakan pengalaman baharu sambil memisahkan mereka dari dunia teknologi,” ujarnya.

Harapan

Tambah Soon Hin, dengan keterbukaan dan tadbir urus yang baik, banyak produk pelancongan baharu dan moden ada di Pulau Pinang.

“Produk pelancongan baharu ini semestinya mampu melonjakkan angka kehadiran pelancong ke Pulau Pinang.

“Saya juga berhasrat untuk melihat kehadiran semula artis jalanan terkemuka dari Lithuania, Ernest Zacharevic yang dilarang masuk ke Malaysia sebelum ini.

“Adalah sesuatu yang bagus sekiranya kita mampu membawa semula Ernest ke Pulau Pinang untuk memberi sentuhan lukisan baharu yang mampu tular lantas menjadi produk pelancongan di sini,” kata beliau.