Kadar sifar GST bakal tambah nilai lebih kepada wang rakyat – Kon Yeow

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

PANTAI JEREJAK – Pengumuman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun 2018 bakal meningkatkan kembali kuasa beli rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang menyambut baik langkah tersebut berkata, pengumuman daripada Kementerian Kewangan mengenai kadar sifar tersebut tepat kerana ia akan menambah nilai lebih kepada wang rakyat.

“Pengumuman ini akan memberikan nilai tambah kepada wang rakyat sekaligus meningkatkan kembali kuasa beli rakyat yang akan dipam kembali ke dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Malah, ia juga dapat membantu perniagaan kecil yang selama ini menderita kerana GST…kadar sifar ini akan menyebabkan lebih ramai orang keluar untuk berbelanja, kerana sekarang mereka tidak perlu lagi membayar GST,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Ekspo Penfurnex 2018 di sini 1 Jun lalu.

Hadir sama, pemain-pemain industri dan pempamer yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Penerangan memberitahu, nilai eskport industri perabot negara pada tahun lalu mencecah RM10.14 bilion, yang mana peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, 2016.

“Industri perabot merupakan pemacu kepada ekonomi Malaysia, negara ini sentiasa terkenal dengan produk perabot berasaskan kayu kerana sumber semula jadinya.

“Di bawah Dasar Industri Kayu Negara, eksport industri perabot ini disasar akan menyumbang sebanyak RM12 bilion menjelang tahun 2020,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kerajaan akan terus menyokong pembangunan industri perabot melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan ia terus berkembang pesat serta mampan.

Di kesempatan tersebut juga, Kon Yeow menyeru para industri perabot agar tidak terus selesa kepada kejayaan yang dikecapi kini, sebaliknya beliau menggesa agar mereka terus meneroka potensi pasaran yang sedang berkembang.

“Dalam tahun kebelakangan ini, pertumbuhan telah beralih daripada menghasilkan produk am ke arah ciri reka bentuknya sendiri, ini menjadi kunci dalam menggerakkan Malaysia ke arena antarabangsa,” ujarnya.