Bela asnaf maqasid syariah zakat – YDP MAINPP

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan terus membela golongan asnaf terpilih melalui agihan daripada sumber zakat, walaupun pembangkang Pulau Pinang kian menggambarkan kononnya Kerajaan Negeri sekarang cuba menindas umat Islam di negeri ini.

Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Mohd. Salleh Man berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Daripada Sumber Zakat
ZPP Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Maqasid syariah (objektif pensyariatan) zakat ini bukan sekadar untuk menyucikan harta tiap-tiap kita sebagai umat Islam, tetapi, untuk membersihkan jiwa, dan yang lebih penting adalah untuk membina hubungan kemanusiaan sesama ummah dengan membela golongan asnaf-asnaf yang layak.

“Dan, pada hari ini, sebanyak RM239,950 daripada sumber zakat akan diagihkan kepada 239 penerima pelbagai ketegori, sebagai pembelaan ummah atas pelbagai keperluan mereka terpilih ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir selepas berucap pada majlis yang dilangsungkan di Masjid Jamek Taman Guar Perahu di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Dr. Azman Abdul Somat dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Taman
Guar Perahu, Ustaz Abu Bakar Bakilani turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, beberapa Ahli Lembaga Pengarah ZPP, antaranya Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman, Datuk Mustafa Kamal Yusoff dan Rahmah Md. Isa. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh turut hadir memberi ucapan serta meramahi golongan penerima agihan daripada sumber zakat.

Difahamkan, sebanyak RM152,800 daripada sumber zakat diagihkan sebagai bantuan sara hidup kepada 163 individu, manakala, 65 penerima lain menerima bantuan permulaan masuk ke universiti awam yang keseluruhan berjumlah RM65,850.

ZPP turut mengagihkan RM18,000 sebagai bantuan perubatan kepada lapan penerima dan tiga penerima lain menerima bantuan persekolahan sebanyak RM3,300.

Jumlah kutipan zakat fitrah dan korporat di negeri ini bagi tahun 2014 dianggarkan berjumlah RM92 juta.

} else {